Hampir seluruh gaji untuk bina badan - Arif

Arif - Foto Bernama
Arif - Foto Bernama
A
A
A

ATLET pelapis bina badan negara, Arif Amaruddin Azmi mendedahkan beliau menggunakan 90 peratus daripada gaji diterimanya setiap bulan bagi urusan perbelanjaan sukan itu.

Arif Amaruddin berkata, baki 10 peratus gajinya diberikan kepada keluarganya manakala kebanyakan wang digunakan untuk bina badan dibelanjakan bagi membeli protein diperlukan seperti ayam dan telur.

“Jujur cakap, saya mati untuk bina badan. Saya bukan macam orang biasa lain yang memikirkan untuk membeli rumah namun gaji saya untuk bina badan,” katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan bina badan negara ke Kejohanan Bina Badan dan Fizikal Asia Tenggara ke-17 di Batam, Indonesia pada 8 hingga 12 Jun ini.

Bukan sahaja gaji, anggota polis itu mengakui terpaksa melupakan keseronokan lain terutamanya dalam aspek pemakanan dengan mengekalkan diet dan disiplin ketat bagi memastikan badannya kekal 'sado' menjelang kejohanan sulung antarabangsanya di Indonesia nanti.

“Setiap pagi saya akan goreng telur 10 biji tanpa minyak serta oat untuk sarapan dan sediakan ayam bakar dengan sedikit garam serta sayur-sayuran sebagai bekalan makan tengah hari dan malam.

“Saya memang terpaksa pantang gula dan minyak kerana itu adalah musuh utama saya selain penting untuk bakar lemak,” katanya.

Daripada segi latihan pula, atlet berusia 28 tahun itu berkata, dia memanfaatkan tiga sesi latihan di gimnasium merangkumi sekurang-kurangnya 10 jam sehari termasuk sesi 'cardio' di sebelah pagi.

Bagaimanapun, anak jati Banting, Selangor itu tetap bersyukur tajaan seperti suplemen dan pakaian daripada syarikat produk nutrisi sukan tempatan sedikit sebanyak meringankan bebannya dalam mengharungi cabaran sebagai seorang atlet bina badan.

Mengenai kejohanan di Batam, naib juara 'welter & light middleweight' (65 kilogram (kg) & 75kg) Piala Ketua Polis Negara 2022 itu berharap dapat memperagakan bentuk badan menarik seterusnya memikat hati juri untuk merangkul emas kategori 75kg nanti.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia, Datuk Dr Ahmad Badrus Othman berkata, mereka meletakkan sasaran kepada kontinjen negara untuk membawa pulang tiga emas kali ini.

Katanya, kesemua atlet dipilih kali ini adalah barisan pelapis yang boleh diketengahkan ke peringkat tertinggi selain berharap penyertaan mereka tidak menghampakan sekali gus dapat meneruskan kecemerlangan atlet senior lain sebelum ini.

Selain Arif Amaruddin, Malaysia akan diwakili dua lagi atlet iaitu Muhammad Shaiful Hisyam Abd Aziz yang bersaing bagi kategori lelaki 175 sentimeter (cm) fizikal dan Shelen Aderina Kok untuk wanita lebih 160cm fizikal. - Bernama