Peguam dibelasah penunjuk perasaan prodemokrasi HK

Mangsa dibelasah sekumpulan penunjuk perasaan prodemokrasi Hong Kong. - Foto Agensi
Mangsa dibelasah sekumpulan penunjuk perasaan prodemokrasi Hong Kong. - Foto Agensi
A
A
A

HONG KONG - Seorang peguam cedera parah selepas dibelasah sekumpulan penunjuk perasaan prodemokrasi Hong Kong yang berhimpun semalam bagi membantah penggubalan undang-undang keselamatan yang diusulkan China.

Sumber perundangan mengenal pasti mangsa sebagai Chan Tze-chin.

Tze-chin antara peguam yang menghadiri sesi Majlis Perundangan pada November lalu untuk menyokong undang-undang kontroversi yang melarang penunjuk perasaan prodemoksrasi memakai topeng muka ketika protes.

Menurut polis, lelaki berusia 40 tahun itu bertengkar dengan beberapa penunjuk perasaan yang membina sekatan jalan raya di Lee Garden Road di Causeway Bay sekitar jam 3.30 petang (waktu tempatan).

Perselisihan faham itu kemudian bertukar ganas apabila sekumpulan suspek mula memukulnya dengan payung dan mengejarnya ketika dia cuba melarikan diri.

Serangan itu sempat dirakam dan tular di media sosial, menunjukkan mangsa rebah ketika dibelasah beramai-ramai berhampiran ibu pejabat kumpulan amal Po Leung Kuk di Leighton Road.

Mangsa dihantar ke Hospital Ruttonjee dengan kecederaan di kepala, lengan dan punggung, menurut polis.

Tambah polis, 10 suspek, berusia antara 20 dan 40 tahun terlibat dalam serangan itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam satu klip video berasingan yang turut tular di media sosial, seorang wanita dibelasah penunjuk perasaan kerana cuba mengalihkan sekatan jalan raya di persimpangan Hing Fat Street dan Lau Li Street di Causeway Bay.

Polis meminta mangsa tampil bagi membantu siasatan.

Dalam aksi tunjuk perasaan semalam, polis anti rusuhan dikerahkan selepas penunjuk perasaan tidak menghiraukan amaran pihak berkuasa melarang perhimpunan tanpa kebenaran selain melanggar undang-undang berkaitan Covid-19 yang melarang perhimpunan awam melebihi lapan orang.

Berikutan penunjuk perasaan semakin ramai, polis bertindak melepaskan gas pemedih mata dan semburan lada bagi menyuraikan mereka, disusuli tembakan meriam air dan kenderaan berperisai.

Sekurang-kurangnya 120 orang ditahan dalam usaha menyuraikan orang ramai di jalan raya, menyaksikan ketegangan yang paling teruk dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Penggubalan undang-undang keselamatan yang diusulkan China dijangka mengharamkan pengkhianatan, penindasan dan hasutan.

Ia menyusul selepas Hong Kong bergolak akibat tunjuk perasaan besar-besaran yang kerap bertukar ganas, dengan China terus berkeras tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk bantahan. - Agensi