X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan main bunga api di kondominium, pangsapuri

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Ibu bapa diingatkan untuk tidak membenarkan anak mereka bermain bunga api atau mercun di kawasan pangsapuri atau kondominium kerana risiko berlaku kebakaran adalah tinggi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, tindakan bermain bunga api serta mercun terutama di balkoni atau koridor rumah adalah tidak digalakkan kerana ia boleh mendatangkan bahaya.

“Kalau nak main bunga api di rumah flat (pangsapuri) dan sebagainya adalah tidak digalakkan. Walaupun tidak ada laporan berhubung kebakaran yang disebabkan oleh perbuatan itu tetapi kita tidak galakkan.

"Kalau nak main pergi ke kawasan terbuka... memang ada tempat lapang untuk anak-anak bermain. Sekarang ni Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) jadi dibenarkan di halaman masing-masing," katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau turut menasihati orang ramai agar menggunakan elektrik dengan berhemah semasa musim perayaan Aidilfitri ini kerana penggunaan berlebihan boleh menyebabkan berlakunya litar pintas.

"Berhati-hati lah dengan pemasangan dan kegunaan perkakas elektrik sebab semasa tempoh PKPB juga penggunaan adalah amat tinggi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamdan berkata, 12,000 anggota JPBM bertugas tahun ini mengikut syif masing-masing sama ada untuk tugasan kecemasan yang biasa atau sebagai barisan hadapan dalam memutuskan penularan rantaian Covid-19.

"Kita melaksanakan operasi Covid-19 bersama barisan hadapan dalam tugasan termasuk 'bantuan kemanusian semasa bencana, pemindahan mangsa, proses sanitasi awam serta pengurusan jenazah.

"Sejak PKP ini dilaksanakan, jumlah keseluruhan operasi yang kita laksanakan adalah sebanyak 9,084," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf