Saingan EPL perlu ditamatkan segera

Kenny Dalglish - Foto gettyimages
Kenny Dalglish - Foto gettyimages
A
A
A

BEKAS pemain legenda Liverpool, Kenny Dalglish mahu saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ditamatkan segera di sebalik krisis pandemik Covid-19 yang masih tidak menentu ketika ini.

Dalglish yang baru sahaja selesai menjalani kuarantin di rumahnya setelah disahkan positif Covid-19 berkata, buat masa ini semua pihak perlu memberikan keutamaan terhadap soal keselamatan dan kesihatan.

Namun, bekas pengendali Liverpool itu memberitahu, kesemua pasukan harus mencari persetujuan bersama bagi mengakhiri saingan EPL musim ini tanpa mempertaruhkan nyawa.

“Jika ada negara lain yang membenarkan saingan liga kembali disambung, saya berpendapat mungkin sekurang-kurangnya (EPL) boleh diteruskan selepas ini.

“Namun, semua pihak perlu ingat bahawa ketika ini faktor kesihatan dan keselamatan terlalu penting buat semua pemain dan sesiapa juga yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, pihak Liga Perdana mengesahkan enam individu termasuk tonggak pertahanan Watford, Adrian Mariappa positif Covid-19 selepas ujian saringan dilakukan awal minggu ini.

Sejak ditangguhkan pada pertengahan Mac lalu, saingan EPL dijangka bakal bersambung pada pertengahan Jun depan setelah mendapat kebenaran daripada kerajaan United Kingdom.

Malah, ketika ini difahamkan sudah ada beberapa pasukan mula menjalani latihan dalam kumpulan-kumpulan kecil dan hanya menanti kelulusan pihak berkuasa untuk sesi latihan yang lebih komprehensif.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, Bundesliga menjadi satu-satunya saiingan liga utama di Eropah yang kembali bersambung manakala kempen Liga Sepanyol dan Serie A dijangka bermula bulan depan.