Segerakan bayaran kepada pemenang LTDL 2020: Mohd Harrif

gambar hiasan.
gambar hiasan.
A
A
A

PENGANJUR Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Human Voyage (M) Sdn Bhd digesa supaya mempercepatkan bayaran wang kemenangan kepada pelumba tempatan yang meraih kejayaan pada perlumbaan berbasikal terulung Asia berkenaan.

Pakar pecut Terengganu Inc. TSG Cycling Team, Mohd Harrif Saleh berkata, beliau bimbang generasi muda yang berminat menceburi sukan berbasikal terutama pelumba tempatan, akan beralih arah ke sukan lain sekiranya trend pembayaran lewat terus berlaku, dalam penganjuran kejohanan berbasikal di negara ini.

“Macam saya tak terkesan sangat sebab saya ada kontrak dengan TSG, jadi dapat elaun bulanan daripada pengurusan TSG, selain pendapatan daripada perniagaan rempah segera ikan bakar yang diusahakan bersama isteri saya, tapi bagaimana nasib pelumba tempatan yang lain?

“Saya agak sedihlah sebab perkara ini (kelewatan bayaran wang kemenangan) kerap terjadi dalam perlumbaan berbasikal tempatan, dan pihak penganjur sepatutnya bertanggungjawab untuk menyelesaikan bayaran segera kepada pelumba tempatan, memandangkan kebanyakan mereka berpenat lelah berkayuh di bawah panas terik,” katanya kepada Bernama.

Mohd Harrif mendakwa selain wang kemenangan LTdL 2020, beliau masih belum menerima sebarang berita berhubung wang kemenangan ketika menyertai Jelajah Malaysia 2017, yang menyaksikan beliau menjuarai peringkat kelima (lelaki elit) sejauh 132.8km di Alor Setar.

Pada LTdL 2020, beliau meraih dua kemenangan peringkat, iaitu peringkat kelima dari Kuala Kubu Bharu ke Ipoh dan peringkat ketujuh dari Bagan ke Alor Setar.

Dalam pada itu, pelumba berusia 31 tahun itu bersyukur kerana perniagaan rempah segera ikan segera ikan bakar yang diusahakan bersama isterinya Nursyahira Nordin, mendapat sambutan menggalakkan, sekali gus menjadi salah satu pendapatan sampingan.

Mohd Harrif mendedahkan jualan rempah segera berkenaan yang dihasilkan daripada rumahnya di Kuala Terengganu boleh mencecah 1,000 pek sebulan, namun bergantung kepada permintaan semasa daripada penduduk tempatan dan luar Terengganu.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah, perniagaan rempah segera ikan bakar yang saya usahakan bersama isteri saya sejak empat tahun lepas, mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

“Setakat ini, fokus pasaran adalah di sekitar negeri Terengganu, dan kalau ada permintaan dari luar Terengganu, kita akan buat pengeposan dengan kadar yang berpatutan,” jelas anak jati Kuala Terengganu itu.

Ditanya mengenai perkembangan semasanya, Mohd Harrif memaklumkan beliau masih menjalani latihan ringan, selain menggunakan basikal simulator di rumahnya bagi mengekalkan kecergasan diri, sambil mengesahkan beliau masih menunggu perkembangan terbaharu jelajah berbasikal yang akan disertainya daripada pihak pengurusan TSG.

“Saya difahamkan Vietnam sudah mula menganjurkan sirkit tempatan, dan saya kira ia langkah yang bagus, kerana pelumba mereka sudah didedahkan dengan kejohanan di kawasan luar selepas perintah berkurung dilaksanakan di negara berkenaan susulan penularan wabak Covid-19,” jelas Mohd Harrif. - Bernama