Ketatkan kawalan pintu masuk negeri-negeri

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MEMANG sudah menjadi rutin umat Islam di negara ini akan pulang ke kampung halaman setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Selain menyambut hari perayaan, cuti umum seumpama itu selalu turut digunakan untuk majlis perkahwinan, bertunang, perjumpaan keluarga dan majlis rumah terbuka.

Namun, dalam keadaan normal baharu seperti sekarang sudah tentulah semua kebiasaan yang kita biasa lakukan tidak boleh diulangi lagi.

Biarpun terdapat rungutan dan keluhan daripada orang ramai, tetapi semua pihak harus menjadi realistik dan bersikap terbuka terhadap keadaan ini. Singkirkan perasaan tidak puas hati atau marah jika tidak dapat menjalani kehidupan yang biasa dilalui.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 1.23 juta individu mendaftar melalui aplikasi mudah alih Gerak Malaysia sejak 25 April sehingga 1 Mei lalu dan daripada jumlah itu, lebih 503,276 daripadanya memohon untuk mendapatkan permit bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, orang ramai diminta untuk mengemaskini maklumat terkini menerusi aplikasi itu bagi melancarkan proses pergerakan rentas negeri.

Bayangkan dengan lebih 500,000 perantau yang ada kebenaran merentas negeri kini berada di kampung halaman, adakah isi rumah dan penduduk sekitar selamat?

Bagaimana kumpulan perantau ini boleh menjamin keselamatan diri mereka sendiri dan orang di sisi mereka terhindar daripada dijangkiti koronavirus (Covid-19)? Tiada jaminan bukan?

Artikel Berkaitan:

Terbaharu, satu kes baharu Covid-19 telah dicatatkan di Kuala Krai selepas 32 hari negeri Kelantan sifar daripada kes berkenaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Hussin memaklumkan pesakit terbaharu itu merupakan seorang ibu mengandung dari Kuala Lumpur yang kini mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bahru.

Mungkin ini masa terbaik bagi setiap kerajaan negeri mengetatkan pintu masuk negeri dalam memastikan rantaian Covid-19 tidak berpanjangan. Kita tidak mahu lagi mengulangi proses sama yang sangat memakan masa dan keringat.