Amran Tompel tak fikir mahu berlakon semula

Baharudin (kiri) memberi kata-kata semangat kepada Amran sambil diperhatikan Supyan.
Baharudin (kiri) memberi kata-kata semangat kepada Amran sambil diperhatikan Supyan.
A
A
A

SEREMBAN – “Saya tak fikir untuk berlakon semula sekiranya sudah sihat,” kata pelakon dan pelawak, Amran Tompel Ramlie atau lebih dikenali sebagai Amran Tompel, 70, yang kini terlantar akibat serangan angin ahmar sejak dua bulan lalu.

Amran yang tinggal di rumah sewa anaknya di Taman Matahari Height, Senawang di sini, kini terpaksa bergantung harap sepenuhnya dengan anak-anak untuk menguruskan diri.

Menurutnya, tiada perkara lain yang diharapkan olehnya melainkan untuk segera pulih dan dapat solat dengan sempurna seperti dahulu.

“Bila sakit ini benda paling saya kesalkan kerana susah nak solat, semuanya kena harapkan orang. Nak berjalan dan ambil wuduk pun susah.

“Ia buatkan saya rasa sangat sedih, kadang-kadang terfikir adakah ALLAH tidak terima saya," katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan dan sumbangan daripada Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam (Al-Qalam) di sini hari ini.

Baharudin membuat rawatan tetapi kinda dan saraf kepada Amran di rumah sewanya di Taman Matahari Height, Senawang.
Baharudin membuat rawatan tetapi kinda dan saraf kepada Amran di rumah sewanya di Taman Matahari Height, Senawang.

Beliau berkata, jika diizinkan oleh-Nya untuk sihat seperti dahulu, beliau ingin memperbaiki dirinya dan mencari jalan ke syurga.

Antara yang dirinduinya kata Amran ialah untuk pergi solat berjemaah di masjid.

Artikel Berkaitan:

“Terima kasih kepada rakan-rakan artis yang datang melawat saya. Kalau tak tengok saya pun, saya minta tolong doakan saya,” katanya.

Sementara itu anak ketiga Amran, Suhairie, 22, berkata, ayahnya diserang angin ahmar ketika sedang menonton televisyen di rumah.

“Ayah tiba-tiba tak boleh bangun. Kami terus bawa dia ke Hospital Tuanku Jafaar (HTJ) di sini dan sekarang ayah hanya perlu makan ubat dan membuat aktiviti fisioterapi dari rumah.

“Saya dah adik-beradiklah uruskan ayah sepenuhnya. Ayah pun tak boleh makan kecuali minum sahaja kerana dia akan muntah,” katanya.

Supyan menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada Amran sambil diperhatikan Baharudin (kiri).
Supyan menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada Amran sambil diperhatikan Baharudin (kiri).

Terdahulu Amran turut diberi rawatan terapi minda dan saraf oleh Presiden Al-Qalam, Datuk Seri Dr Baharudin Abu.

Beliau berkata, rawatan itu adalah sebagai pelengkap kepada perubatan moden dan ia adalah kaedah rawatan Melayu yang diwarisi dari turun temurun.

“Kurang satu jam rawatan diberi, kita tengok kaki dia dah boleh angkat sedikit dan wajahnya sudah berseri semula,” katanya.

Penasihat Al-Qalam,Profesor Dr Supyan Hussin pula berkata, ia merupakan sebahagian daripada aktiviti kebajikan Al-Qalam dan melihat keadaan Amran, beliau percaya yang pelakon itu mempunyai potensi tinggi untuk pulih.