Impian Koperal Safwan beli rumah tidak kesampaian

Suraya (kanan) menerima sumbangan daripada MCIS Life di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.
Suraya (kanan) menerima sumbangan daripada MCIS Life di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.
A
A
A

KAJANG – Impian seorang anggota polis, Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail untuk membeli rumah tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia dirempuh pacuan empat roda ketika melakukan sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) pada 3 Mei lalu.

Kakaknya, Suraya, 32, berkata, dia mengetahui impian adiknya itu setelah memeriksa pesanan WhatsApp di telefon bimbitnya baru-baru ini.

“Saya telah menghubungi ejen penjual rumah tersebut, dia memaklumkan Safwan telah menyediakan penyata gaji.

"Safwan tidak sempat menyerahkannya disebabkan kesibukan bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada media ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan RM20,000 daripada syarikat Insuran, MCIS Life kepada keluarga Safwan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.

Suraya berkata, dia berasa terharu dan berterima kasih kepada MCIS Life kerana menyalurkan sumbangan tersebut.

“Kami sekeluarga masih belum membuat keputusan untuk menggunakan wang sumbangan itu, mungkin sebahagian daripadanya akan digunakan untuk menunaikan impian Safwan,” katanya.

Dia berkata, keluarga masih terasa kehilangan Safwan, namun harus reda dengan apa yang berlaku.

“Kita masih rasa sedih, kami tidak menyangka perkara ini akan berlaku tetapi ini semua kehendak ALLAH,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 3 Mei lalu, Safwan,31, yang merupakan anak kedua daripada sembilan beradik dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu di bawah pengaruh alkohol kira-kira jam 2 pagi di sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas)

Mangsa yang juga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN Keluarga Koperal Safwan harap pelaku kena hukuman setimpal