X

Kindly register in order to view this article
!

Perikatan Nasional perlu segera didaftarkan

Gambar dari kiri: Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Md Shukri.
A
A

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan secara mengejut bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang runtuh pada 24 Februari lalu.

Proses pengambilalihan kerajaan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mendapat sokongan ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain.

Ikuti temu bual bersama Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib bagi membincangkan hala tuju dan keperluan PN dimuktamadkan dalam masa terdekat.

SINAR HARIAN: Bagaimana senario kerjasama dalam PN apabila semua parti dalam pakatan itu bekerjasama membentuk blok kerajaan baharu?

MD SHUKRI: Kita melihat ia sebagai satu gabungan majoriti anggota Dewan Rakyat untuk membentuk blok kerajaan yang sah. Ia satu kompromi bukan sahaja ketua-ketua parti tetapi juga gabungan prinsip sesama anggota Dewan Rakyat yang bertekad membentuk kerajaan baharu selepas PH berkuasa selama 22 bulan.

Buat masa ini, gabungan PN dalam Dewan Rakyat itu boleh dirujuk sebagai ‘blok kerajaan’ kerana belum termaktub secara rasmi.

Sejauh manakah kekuatan PN pada masa ini?

Setakat ini, PN ada 113 kerusi Dewan Rakyat. Jawatan di Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak membawa impak langsung dalam kekuatan kerajaan di peringkat Pusat kerana kekuatan blok kerajaan adalah dikira daripada sokongan kalangan ahli Dewan Rakyat.

Istilah kerajaan dua pertiga dengan parti yang kukuh sudah kelihatan sukar dicapai akibat fenomena persepsi rakyat yang pelbagai susulan ledakan teknologi komunikasi semasa.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan sebelum ini menegaskan pendaftaran PN tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa. Adakah pendirian BN ini akan menjejaskan usaha mengukuhkan kerajaan PN berikutan gabungan itu masih belum berdaftar secara sah?

PN harus segera dibentuk dengan pentadbiran yang tersusun dan didaftarkan secara sah jika semua pihak dalam entiti politik itu serius hendak membentuk kerajaan yang mantap.

Dengan pelbagai pendirian yang berbeza, apatah lagi wujudnya rasa tidak puas hati antara sesama tokoh dalam parti berlainan, perkara itu akan merumitkan situasi.

Selain PN, UMNO dan Pas juga sudah membentuk entiti pakatan yang termaktub dalam satu piagam perjanjian sah iaitu Muafakat Nasional. Adakah BN dan Pas akan terus komited bersama PN selepas tamat penggal pentadbiran kerajaan kelak?

Saya fikir dalam hal ini, dengan wujudnya gabungan dalam gabungan, maka wajarlah PN ditubuhkan secara rasmi dan disahkan segera. Jika benar-benar hendak muafakat, eloklah semua rakan dimasukkan sekali dalam satu platform dan sama-sama bergerak.

Mungkin juga lebih baik jika ada lonjakan minda supaya Bersatu, UMNO dan Pas bergabung membentuk satu parti orang Melayu Islam yang kuat selain menggabungkan ketiga-tiga parti itu dalam satu platform.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!