Parti politik sangat berhati-hati berkempen: Pemerhati

No Image Caption
A
A
A

TANAH RATA - Rata-rata calon dan parti politik yang bertanding dalam PRK Parlimen Cameron Highlands sangat berhati-hati dalam menjalankan aktiviti kempen mereka kerana sedar mereka sedang diperhatikan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, situasi itu timbul berikutan penularan beberapa keping gambar yang menunjukkan seorang petugas parti PH memberikan wang kepada Orang Asli yang mengambil bahagian dalam aktiviti hari penamaan calon di Tanah Rata, 12 Januari lalu.

Wang itu dilapor diberikan sebagai membayar semula wang minyak motosikal seramai 60 Orang Asli yang hadir pada hari berkenaan dengan masing-masing menerima RM20.

“Sejak kejadian itu, kami dapati pihak parti politik sangat berhati-hati dalam menjalankan aktiviti mereka.

“Ini adalah satu perkara yang sangat baik bahawa kesedaran itu timbul apabila ada pendedahan sesuatu kes oleh netizen dan kami harap netizen terus memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat mengenai kes-kes seumpama itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu Jais berkata, setakat ini pihaknya menerima lima aduan berkaitan salah guna kuasa dan rasuah sepanjang tempoh berkempen dengan aduan itu telah disalurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“MCW tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat. Kami hanya boleh terima laporan daripada orang awam termasuk netizen dan meminta mereka memberikan maklumat yang terperinci. Seterusnya kami akan salurkan maklumat itu kepada SPRM,” katanya.

Jais berkata, PRK ini merupakan kali pertama MCW dilantik sebagai pemerhati oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan seramai 12 anggotanya secara bergilir-gilir memerhati perjalanan tempoh berkempen ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Jais menghadiri sesi ramah mesra calon PH M. Manogaran bersama pengundi di sekitar pekan Tanah Rata, yang turut disertai Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Anggota Parlimen Jelutong R. Sanisvara Nethaji Rayer.

PRK berkenaan yang diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN pada PRU14 bagi Parlimen itu terbatal dan tidak sah, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Manogaran, Mohd Ramli Nor (BN), Sallehudin Ab Talib (Bebas) dan Wong Seng Yee (Bebas). - Bernama