Keberhasilan KKMM dinilai dari sudut fundamental: Saifuddin

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah -Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mahu keberhasilan kementerian yang diterajuinya itu dinilai dari sudut fundamental yang merangkumi amalan budaya ilmu, orientasi idea dan pemikiran futuris.

Bagi amalan budaya ilmu, Saifuddin mengajak warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengamalkan budaya berkenaan berasaskan tiga prinsip iaitu meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi; sentiasa menuntut dan berkongsi ilmu; dan semua keputusan dan tindakan adalah berlandaskan ilmu.

Seterusnya, beliau mengingatkan warga kerja kementerian bahawa kerja perlu digerakkan oleh idea yang terbahagi pada empat peringkat iaitu ‘idea yang telah wujud’, ‘idea yang sedang dimajukan’, ‘idea yang sedang didebatkan’, dan ‘idea yang perlu diantisipasi’.

“Kita perlu praktikal dan melaksanakan apa yang berada di hadapan kita iaitu ‘idea yang telah wujud’ dan ‘idea yang sedang dimajukan’.

“Contohnya, KKMM dilantik menerajui inisiatif ekonomi digital sebagai agenda nasional dan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjadi ‘focal pointnya’,” katanya dalam hantaran ‘Merentas Ruang’ bertajuk ‘Memacu kecendekiaan dalam masyarakat’ di laman Facebook hari ini.

‘Memacu kecendekiaan dalam masyarakat’ yang merupakan matlamat baharu KKMM itu, bermaksud masyarakat yang mampu memperoleh dan memanfaatkan ilmu dan kemahiran lantas sejajar dengan visi kementerian iaitu melahirkan masyarakat terhubung, berinformasi, kreatif dan berbudaya digital.

Saifuddin berkata masa depan negara bergantung pada kemampuan warga kementerian untuk menggarap ‘idea yang sedang didebatkan’ dan ‘idea yang perlu diantisipasi’.

Beliau selanjutnya menegaskan pekerja perlu bersikap futuris dengan mengikuti, dan seboleh-bolehnya mempengaruhi pemikiran sains dan teknologi masa depan.

Artikel Berkaitan:

“Ini termasuk soal industri-industri masa depan dan teknologi (untuk tempoh) 20 hingga 30 tahun akan datang...semoga wujud masyarakat yang cendekia serta berbudi, berbahasa dan berbudaya,” tambahnya. - Bernama