Sambut Aidilfitri dengan norma baharu: Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin - Foto Selangor Royal Office
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin - Foto Selangor Royal Office
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat di negeri ini mengubah amalan biasa sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan norma baharu.

Baginda bertitah, amalan kunjung-mengunjung dan bersalaman tidak sesuai diamalkan buat masa ini bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 yang masih aktif.

Titah Sultan Sharifuddin, budaya balik kampung khususnya yang memerlukan perjalanan merentas negeri juga perlu dielakkan malah orang ramai turut dinasihatkan tidak berkumpul atau menganjurkan majlis rumah terbuka bagi menggelakkan wujud jangkitan kluster baharu.

"Walaupun statistik jangkitan kes baharu Covid-19 di Selangor semakin menunjukkan penurunan namun kita perlu terus waspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.

"Beta sentiasa berdoa negeri Selangor yang kita kasihi dan rakyatnya terus dipelihara ALLAH sebagai negeri yang maju, makmur, harmoni serta dijauhi malapetaka," titah baginda menerusi Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1441H hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menyeru masyarakat Melayu bersatu bagi menghindari perpecahan khususnya ketika negara sedang dilanda wabak Covid-19.

"Suka Beta ingatkan supaya rakyat memperbanyakkan ibadat serta menjauhi perbuatan tidak baik yang boleh mendatangkan dosa seperti menyebarkan fitnah dan berita palsu yang boleh memberi kesan tidak elok kepada masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan: