Dua beradik maut

Keadaan kereta jenis Perodua Bezza dinaiki empat beradik yang remuk di lokasi (Foto: Ihsan pembaca)
Keadaan kereta jenis Perodua Bezza dinaiki empat beradik yang remuk di lokasi (Foto: Ihsan pembaca)
A
A
A

SETIU - Dua beradik maut manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki bertembung sebuah treler dalam kejadian di Kampung Bintang, Simpang Kampung Bahagia, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.03 petang itu, Amirah Faqihah Azman, 18, yang memandu kenderaan tersebut dan adiknya, Aishah Asmaa Azman, 14, duduk di tempat penumpang belakang kanan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Manakala adik lelakinya, Aidil Wajdi Azman, 17, yang juga penumpang depan dan Arif Muzammil Azman, 16, duduk di tempat penumpang kiri cedera parah dan kini ditempatkan di zon merah Hospital Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila treler dipandu lelaki berusia 30 tahun itu dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala ke Kuantan, Pahang.

Beliau berkata, semasa tiba di lokasi, kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki empat beradik itu dikatakan keluar dari simpang Kampung Bahagia, di sini, secara tiba-tiba.

"Disebabkan jarak yang terlalu dekat selain keadaan cuaca yang ketika itu hujan lebat, pemandu treler tersebut tidak sempat mengelak lalu terlanggar sisi kanan kereta berkenaan.

"Mayat kedua beradik itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat manakala dua beradik yang parah menerima rawatan di hospital sama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Pemandu treler dari Kuantan, Pahang itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.