X

Kindly register in order to view this article
!

Mukhriz beri amaran tegas kepada kerajaan Kedah baharu

Mukhriz (tengah) bersama sebahagian pemimpin PH Kedah selepas selesai sidang media di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberi amaran kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah agar tidak melibatkan rakyat dan perkhidmatan tadbir negeri dalam kancah politik.

Menurut beliau, pihaknya akan memantau setiap tindakan dan tingkah laku pemimpin PN agar mereka menunaikan tanggungjawab kepada rakyat Kedah serta kerajaan baharu tidak mengamalkan pilih kasih dalam pentadbirannya.

“Rakyat akan memerhati secara terperinci sama ada kerajaan yang menggantikan kami akan teruskan projek-projek yang telah diusahakan, termasuk pelaburan diluluskan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri). Kita juga akan pantau hutan-hutan simpan Kedah sama ada akan menjadi mangsa pembalakan tidak terkawal bawah pentadbiran PN,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Mukhriz berkata, ini bukanlah masa terbaik PN ‘menebuk atap’ untuk merampas kuasa.

“Ini mesej jelas kepada kerajaan Kedah yang baharu. Anggaplah ini satu amaran tegas kepada anda semua,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Jeneri, Menteri Besar Kedah baharu ganti Mukhriz

Beliau turut kesal apabila kemelut politik Kedah ini tergesa-gesa diselesaikan sebelum 18 Mei, seperti kenyataan Ketua Pembangkang, Muhammad Sanusi Md Nor yang mahu ia berakhir pada tarikh berkenaan.

“Tarikh itu tiada kena mengena dengan Kedah. Ia signifikan di Dewan Rakyat di mana diusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Dewan Rakyat tidak membenarkan usul itu dibahas dan diundi pada hari tersebut, ia tidak sepatutnya berbangkit dalam soal peralihan kuasa kerajaan Kedah. Mungkin mereka gelojoh untuk jatuhkan saya atau sebagai hadiah hari jadi Perdana Menteri pada 16 Mei?” katanya.

Menurutnya, adalah lebih wajar membenarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah meneruskan usaha menangani wabak koronavirus (Covid-19), selain membenarkan umat Islam berpuasa dengan aman dan bergembira menanti Aidilfitri.

“Sebelum ini, saya mengambil pendirian kekalkan kerjasama politik bersama PH Kedah, meneruskan kerajaan sedia ada. Kepimpinan Pas Kedah beri jaminan tidak akan desak ADUN PH lompat ke pihak mereka dan bersetuju saya terus berkhidmat sebagai Menteri Besar hingga akhir penggal ke 14.

"Mereka mohon agar kerajaan PH tidak memandang mereka sebagai pembangkang, diberikan peruntukan tambahan bagi Pusat Khidmat DUN Pas dan UMNO. Kerajaan PH Kedah adalah yang pertama sediakan peruntukan kepada ADUN pembangkang. Ternyata, timbang rasa kami tidak diambil kira apabila mereka melayan permohonan beberapa ADUN PH lompat ke pihak mereka,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf