Nasib Dasar Sastera Kebangsaan

No Image Caption
A
A
A

PADA 23 April 2019, berlangsung satu mesyuarat anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk membincangkan semakan semula Dasar Sastera Kebangsaan (DSK) yang sudah dirumuskan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 16 Ogos hingga 20 Ogos 1971.

Saya sendiri mempunyai pandangan bahawa DSK perlu dimartabatkan secara perundangan, bukan lagi kekal sebagai konsep longgar yang sentiasa terdedah kepada cabaran para demagogue politik.

Difahamkan bahawa mesyuarat itu disarankan (diarahkan) Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan dipengerusikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom. Dr Hatta memperlihatkan kesungguhannya menjadi orang tengah dalam perbincangan yang berlangsung dengan hangat antara beberapa panel yang datang daripada pelbagai fikrah.

Ketika itu, saya merasakan kesungguhan kerajaan untuk memberikan perhatian kepada sastera tanah air. Apabila dunia sastera diperkatakan, banyak lagi cabang lain atau terheret sama seperti penerbitan, percetakan, penganugerahan dan tadbir urus negara. Negara maju sepatutnya tidak mengabaikan kesusasteraan dan penerbitan buku sebagai tanda aras kemajuan peradabannya.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada perkembangan lanjut dimaklumkan sedangkan dua sosok teraju utamanya, Dr Maszlee dan Dr Hatta tidak lagi berada di kedudukan punca kuasa tersebut.

Dr Maszlee sudah ‘diminta’ melepaskan jawatan Menteri Pendidikan, manakala Dr Hatta telah mengakhiri perkhidmatannya pada 8 Mei lalu. Beliau meninggalkan kerusi bukan eksekutifnya itu dengan kelegaan kerana “dapat membereskan semua tugas hinggalah ke hari akhir” (catatan Facebook beliau bertarikh 9 Mei 2020).

Kini, Kementerian Pendidikan sudah diterajui oleh menteri baharu dan jawatan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP mungkin akan diisi oleh pengganti yang masih misteri (sehingga makalah ini ditulis).

Kesungguhan

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abang Sallehudin Abang Shokeran mungkin sedang menunggu arahan daripada pihak atasannya sama ada mahu menyambung projek itu atau tidak. Jika ada kesedaran dan kesungguhan pihak yang berwenang, nescaya projek itu akan bersambung. Maka tidaklah sia-sia mesyuarat 23 April 2020 yang dihadiri para tokoh kesusasteraan dan pemegang taruh yang rata-ratanya ideologikal itu.

Antara yang hadir ketika itu ialah Sasterawan Negara (SN) Baharudin Zainal, SN Datuk Zurinah Hassan, Datuk Zainal Abidin Borhan, Datuk Goh Hin San, Dr Raja Rajeswari Seetha Raman, Dr Wan Abu Bakar Wan Abas, Mutalib Othman serta ramai lagi termasuk pegawai Kementerian Pendidikan dan wakil Institut Pendidikan Guru.

Apabila teraju Kementerian Pendidikan bertukar tangan dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP juga akan berubah orangnya, adakah DSK ini akan diangkat ke kedudukan yang memiliki legitimasi dari sudut perundangan? Pertanyaan itu timbul di celah-celah imbauan sejarah 13 Mei beberapa hari lepas, tarikh sejarah hitam negara. Dari sudut sejarawi, DSK itu dirumuskan selepas negara bergelut dengan krisis perkauman 13 Mei 1969 akibat keghairahan politik kekuasaan merebut kuasa politik secara kasar dan biadab.

Selepas peristiwa itu, menyedari bahawa hubungan sosial penting untuk mewujudkan satu peradaban yang kukuh, pemerintah telah merumuskan satu testamen ideologi dalam bentuk Rukun Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Lanjutan daripada itu, DSK dikonsepsikan dalam rumusan Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 16 Ogos hingga 20 Ogos 1971 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Teras utama DSK ialah bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan dalam karya sastera.

Sebuah negara bangsa yang direncamkan oleh pelbagai suku, kaum, ras dan etnik perlu memiliki satu nilai sepunya sebagai alat ideologinya. Oleh itu, sastera berbahasa Melayu sahaja yang diiktiraf sebagai asas sastera kebangsaan manakala karya berbahasa lain hanya dianggap sebagai sastera etnik. Nilai

Fungsi ideologikalnya adalah sebagai wahana pembentukan perpaduan nasional. Kesusasteraan kebangsaan yang berpaksikan satu nilai sepunya, iaitu bahasa Melayu, disifatkan mempunyai pengaruh untuk mewujudkan perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum.

Dalam rumusan perbincangan itu, selain mengekalkan prinsip asas dari segi bahasa, turut disisipkan ialah penerimaan karya yang asalnya ditulis dalam bahasa lain tetapi telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan oleh penulis yang sama. Satu prinsip yang sering menjadi punca polemik dan krisis kepercayaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum ialah Rukun Negara. Oleh itu, DSK yang mahu diabsahkan nanti mestilah dalam ‘kawalan’ prinsip Rukun Negara.

Kini, selepas lebih 60 tahun merdeka, DSK sudah ditambahi rasional yang tidak kurang pentingnya iaitu untuk membuka lebih banyak peluang kepada penulis dan sasterawan, pelbagai kumpulan karyawan industri kreatif, generasi muda, industri buku negara, penerbit buku, pencetak, pendidik dan pelbagai industri sampingan lain.

Dengan termaktubnya DSK secara perundangan diharapkan sastera tanah air (penghasilan, aktiviti, promosi dan sebagainya) akan sentiasa diambil kira dalam peruntukan belanjawan negara. Bukan sahaja di peringkat Pusat, bahkan di peringkat negeri juga sepatutnya peruntukan bagi mengangkat sastera kebangsaan akan disediakan dalam belanjawan tahunan.

Kedudukan itu penting kerana bidang kesusasteraan sering tercicir daripada perkiraan dan pertimbangan para pembuat dasar. Malahan, punca kuasa bidang kesusasteraan juga masih dibolak-balikkan antara kementerian yang berlainan. Akibatnya ‘pendiri’ kesusasteraan dalam kalangan rakyat berdepan dengan kekeliruan untuk meminta bantuan.

Apakah sastera kebangsaan tidak penting bagi negara? Tzvetan Todorov dalam bukunya, Crimes Against Humanities menyatakan, setiap manusia dilahirkan dengan budaya masing-masing dan melalui budayalah mereka dapat dikelompokkan dalam satu ikatan.

Oleh itu, dalam konteks Malaysia, sastera kebangsaan diharapkan dapat menjadi strategi pembinaan negara bangsa.

* Dr Mohamad Saleeh Rahamad ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya. Beliau juga ialah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)