X

Kindly register in order to view this article
!

Noh imbau kenangan tinggalkan isteri bersalin

Gambar kenangan Noh sewaktu menanti giliran bagi membuang undi sewaktu PRU12 lalu.
A
A

“SAYA memang utamakan rakyat lebih daripada keluarga sendiri. Malah, semasa isteri melahirkan anak kedua, saya tak sempat bersama dengannya kerana telah berjanji dengan rakyat.”

Itu adalah antara kenangan tidak dapat dilupakan yang dikongsi Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar ketika ditemu bual Sinar Ahad di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Bercerita mengenai pengalamannya itu, Noh berkata, ketika itu beliau dalam perjalanan untuk merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sebuah sekolah di Tanjong Karang apabila menerima panggilan yang memberitahu isterinya, Profesor Puan Sri Dr Aishah Salleh hendak bersalin.

Kejadian itu berlaku sekitar tahun 1997. Anak lelaki kedua Noh itu kini sedang menuntut di sebuah universiti tempatan.

Noh
Noh

Menurut Noh, beliau sememangnya suka berkhidmat kepada masyarakat sejak menuntut di London, England lagi dan disebabkan itulah beliau memilih menceburi bidang politik.

Katanya, beberapa percutian dan majlis sambutan bersama keluarga sebelum ini juga terpaksa ditangguhkan bagi memberi keutamaan kepada rakyat di kawasannya.

“Saya memang ikhlas berkhidmat untuk rakyat. Mungkin sebab itulah mereka lebih menjadi keutamaan berbanding keluarga sendiri sejak saya sertai politik.

“Malah, anak saya sendiri pernah berdoa agar saya tidak menjadi wakil rakyat kerana risau saya tak ada waktu bersama mereka,” katanya sambil ketawa kecil.

Dalam pada itu, Noh memaklumkan, dia berjinak-jinak dengan politik sewaktu menuntut di Thames Valley University pada tahun 1984 apabila menyertai Kelab UMNO Luar Negara pada waktu itu.

Sejak itu, Noh berkata, beliau bertatih dari bawah dalam kancah politik sehinggalah diamanahkan memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan sebelum ini.

“Prinsip saya dalam politik sejak dulu ialah kita kena ikhlas dan bukannya mengharapkan sesuatu balasan atau jawatan sebagai ganjaran.

“Saya sendiri pernah beberapa kali naik turun jawatan, namun itu tak jadi masalah kerana tujuan utama kita adalah untuk beri khidmat kepada rakyat dan bukan kejar jawatan,” katanya.

Wakil rakyat 25 tahun

Dalam pada itu, Noh yang merupakan anak ketiga daripada 15 beradik tidak menyangka beliau akan menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang selama 25 tahun.

Beliau yang pernah menceburi bidang perundangan turut memaklumkan, semua kejayaan yang dikecapinya adalah hasil sokongan rakyat yang percaya beliau dapat memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

“Sebab itu saya kata, kita kena ikhlas dalam perjuangan. Jangan pernah berkecil hati kalau kita tak ditawarkan jawatan atau ganjaran kerana asasnya tujuan kita (berpolitik) adalah demi membantu rakyat.

“Jika perjuangan itu ikhlas, insya-ALLAH ganjaran itu akan datang dengan sendirinya tanpa perlu kita cari,” katanya.

Noh menjadi ahli Parlimen sejak 25 April 1995. Beliau pernah berkhidmat di bawah pentadbiran tiga Perdana Menteri terdahulu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Noh dijulang selepas diumumkan menang kerusi Parlimen Tanjong Karang pada PRU12 lalu.
Noh dijulang selepas diumumkan menang kerusi Parlimen Tanjong Karang pada PRU12 lalu.

“Antara Ahli Parlimen lain yang seangkatan dengan saya ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna),” katanya.

Ketika ditanya mengenai pelantikan semula beliau sebagai Pengerusi UMNO Selangor baru-baru ini, Noh berkata, beliau tidak menyangka akan kembali menerajui badan perhubungan parti itu di negeri berkenaan setelah membuat keputusan berundur daripada jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018.

Menurut Noh, beliau mengambil keputusan untuk menimbang semula bagi memegang jawatan itu selepas mendapat permintaan daripada ketua-ketua bahagian di negeri Selangor.

“Mereka semua (ketua bahagian) datang minta saya kembali pimpin UMNO Selangor. Selepas itu, mereka turut menghantar satu memorandum bagi memaklumkan perkara itu kepada Presiden parti dan mendapat persetujuan daripadanya.

“Saya juga berasa tersentuh dengan kesungguhan ketua-ketua bahagian ini yang masih bekerja untuk rakyat walaupun parti berdepan kekangan kewangan. Itulah juga sebabnya saya sanggup kembali memimpin,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!