Muhammad Sanusi dijangka angkat sumpah MB Kedah esok

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu di Wisma Darul Aman esok.

Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri akan menggantikan Datuk Seri Muhriz Mahathir susulan berlakunya peralihan kuasa setelah Perikatan Nasional memperoleh majoriti 23 sokongan daripada 36 ADUN Kedah.

Ia membolehkan Perikatan Nasional Kedah membentuk kerajaan negeri baharu selepas 36 ADUN Kedah selesai menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah semalam.

Difahamkan, Mukhriz dijangka mengadakan sidang akhbar mengumumkan peletakan jawatan Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman diikuti dengan sidang akhbar majlis pelantikan Menteri Besar baharu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada pagi esok.

Pada sebelah petang, majlis pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah yang baharu akan berlangsung di Pejabat Tuanku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman.



Muhammad Sanusi (kanan) bersama ADUN Pas ketika majlis menghadap Sultan Kedah di Wisma Darul Aman semalam.
Muhammad Sanusi (kanan) bersama ADUN Pas ketika majlis menghadap Sultan Kedah di Wisma Darul Aman semalam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan Pas menguasai 15 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (tujuh), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (enam), Parti Amanah Negara (empat), DAP (dua) dan Barisan Nasional (dua).

Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah bukanlah nama asing dalam politik Kedah, khususnya dalam partinya.

Artikel Berkaitan:

Beliau merupakan anak didik bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang banyak membawa pembaharuan dalam pembangunan dan landskap politik Kedah.

Kembalinya Pas bersama rakan parti gabungan Perikatan Nasional, seakan kembali menyambung perjuangan Allahyarham Azizan.

Muhammad Sanusi perlu menjadikan 'krisis menteri besar' yang dialami Mukhriz pada era Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai pengajaran agar dirinya tidak terjebak dengan insiden itu yang memualkan rakyat Kedah.

Model pemerintahan Azizan wajar dikembalikan, namun perlu ada kesepakatan yang kuat agar stigma 'musuh tradisi UMNO-Pas' dapat dilenyapkan untuk kestabilan politik Perikatan Nasional.

Keutuhan bersama rakan parti lain, Bersatu dan PKR juga harus sentiasa dibajai bagi mengelak ada pihak lain menjadi batu api untuk meretakkan ikatan Perikatan Nasional.