KPDNHEP umum Skim Kawalan Harga Aidilfitri Selasa depan

Rosol (kanan) melakukan lawatan kerja di sebuah jeti pendaratan ikan di Sekinchan di sini hari ini.
Rosol (kanan) melakukan lawatan kerja di sebuah jeti pendaratan ikan di Sekinchan di sini hari ini.
A
A
A

SEKINCHAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dijangka mengumumkan penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri, Selasa depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pelaksanaan skim kawalan harga itu akan diumumkan Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, sebanyak 11 barangan keperluan yang akan disenaraikan dalam skim kawalan terbabit.

"Skim kawalan harga yang akan diumumkan nanti turut meliputi perayaan pesta Kaamatan dan Gawai di Sabah dan Sarawak," katanya.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja di sebuah jeti pendaratan ikan di Sekinchan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, bekalan ikan dan hasil laut di dalam pasaran di negara ini dijamin mencukupi sehingga selepas perayaan Aidilfitri.

Beliau memberitahu, setakat ini, tiada isu berhubung kekurangan bekalan ikan daripada pembekal.

"Rakyat tidak perlu risau berhubung bekalan ikan yang mencukupi dari utara hingga ke selatan tanah air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, aktiviti pengedaran ikan sejuk beku bagi tujuan pemprosesan turut mengalami norma baharu apabila pengedarannya kini dibuat secara dalam talian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ini perkara baharu iaitu ikan yang siap diproses di kilang akan diedarkan sehingga ke Kuala Lumpur," katanya.