X

Kindly register in order to view this article
!

Henti bercakaran, tumpu masalah negara

PPPMM menyeru pemimpin politik berhenti bertelagah merebut kuasa, sebaliknya memberi tumpuan mengurus negara dan nasib rakyat dalam situasi sukar ketika ini yang berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).
A
A

JOHOR BAHRU - Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menyeru pemimpin politik berhenti bertelagah merebut kuasa, sebaliknya memberi tumpuan mengurus negara dan nasib rakyat dalam situasi sukar ketika ini yang berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

Presiden PPPMM, A Rahman Mahadi berkata, kestabilan politik ketika ini tidak menentu akibat pemimpin politik kerajaan dan pembangkang terutama Melayu yang rakus serta tamak kuasa tanpa mempedulikan keadaan negara.

"Setiap hari rakyat 'dijamukan' dengan isu perpecahan politik dan krisis politik tanah air secara berterusan serta tidak henti-henti mencari kesilapan antara satu sama lain dari dahulu setiap kali bertukar kerajaan.

"Rakyat merasakan sangat sedikit masa yang diperuntukkan bagi memikirkan pembangunan negara dan insan malah yang lebih teruk lagi, kedua-dua blok itu berantakan secara dalaman juga, apa faedahnya," katanya ketika ditemui di Markas PPPMM, Kempas di sini semalam.

Katanya, rakyat sudah lama memerhatikan sikap dan tingkah laku ahli-ahli politik yang perangai dan tabiatnya tetap sama walau apa pun parti diterajui mereka dengan lebih mengutamakan kedudukan dan kuasa.

"Akhirnya jelas kita ketinggalan dan tercicir dalam segala bidang.

"Justeru apa hebatnya pemimpin yang kita pilih sekarang ini jika asyik bercakaran sepanjang masa sehingga menjelang ke pilihan raya akan datang?" soalnya.

Pemimpin politik katanya, perlu sedar bahawa rakyat memberikan tanggungjawab kepada mereka untuk mengurus negara dan bukan mengkhianati amanah yang diberikan dengan tidak habis-habis berpolitik, sekali gus merugikan semua pihak.

Menurut beliau, rakyat sudah muak dengan gelagat mereka dan konflik politik hanya akan menyemarakkan kebencian, dendam dan permusuhan yang berpanjangan sekali gus membuatkan rakyat bingung serta kecewa dengan perkembangan itu.

"Kini satu-persatu sudah terjadi sebaliknya, parti-parti Melayu sudah terlampau banyak, tidak mungkin lagi boleh bersuara untuk membela nasib orang Melayu kerana terlampau banyak 'nakhoda' dalam sebuah kapal, bagaikan cuba mengubah haluan angin.

"Sepatutnya kita taat dengan firman ALLAH supaya tidak berpecah-belah," katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap pemimpin-pemimpin Melayu yang sedang bertelagah supaya tidak menyusahkan rakyat yang boleh menyebabkan situasi 'gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah'.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!