Solat Jumaat di setiap daerah Pahang mulai 22 Mei

Prosedur operasi standard (SOP) bagi solat Jumaat dan solat berjemaah di Masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka diketahui Khamis ini.
Prosedur operasi standard (SOP) bagi solat Jumaat dan solat berjemaah di Masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka diketahui Khamis ini.
A
A
A

KUANTAN - Pelaksanaan solat Jumaat di daerah selain Kuantan di negeri ini akan dilaksanakan mulai 22 Mei dengan sebuah masjid di setiap daerah, titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah, sesi percubaan mengadakan semula solat Jumaat telah dipersetujui dilaksanakan hari ini di tiga buah masjid di Kuantan iaitu Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Indera Mahkota dan Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).

"Saya pasti semua jemaah rindukan masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah, namun kita harus bersama-sama faham bahawa musuh (koronavirus) Covid-19 yang sedang dihadapi sekarang tidak kelihatan dan langkah kerajaan menghentikan sementara solat jemaah di masjid adalah satu keharusan dalam hukum agama.

"Alhamdulillah, jumlah pesakit Covid-19 di negara kita semakin terkawal dan selepas mendengar pembentangan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) semalam, saya bersetuju untuk kita adakan solat Jumaat secara percubaan di Kuantan hari ini.

"Saya berharap pegawai masjid di sini termasuk kadi daerah supaya melihat prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan hari ini dan pastikan semua peraturan serta arahan diikuti demi keselamatan rakyat," titah baginda selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1.

Tengku Hassanal yang diiringi kekanda Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser dan adinda Tengku Panglima Muda, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah antara 40 jemaah yang menunaikan kewajipan itu dengan dipimpin Imam 1 Mohd Khalil Mohd Zari manakala khutbah disampaikan Imam Besar, Datuk Badli Shah Alauddin.

Dalam perkembangan lain, Tengku Hassanal yang juga Yang Dipertua MUIP menyeru supaya rakyat Pahang tidak melupakan kewajipan membayar zakat fitrah yang setakat ini, baginda difahamkan peratusan kutipan zakat baru mencapai 40 peratus.

"Bagi memudahkan proses pembayaran zakat, saya bersetuju agar khidmat amil digerakkan semula.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, ia mesti mengikut tatacara dan SOP yang ditetapkan manakala mereka yang mempunyai perbankan internet, gunakanlah kemudahan itu," titah baginda.

Kutipan zakat itu, titah Tengku Hassanal akan disalurkan kepada asnaf yang memerlukan terutamanya dalam keadaan ekonomi mencabar sekarang dan MUIP telah mengagihkan RM56 juta zakat bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

"Daripada jumlah itu, hampir RM10 juta sahaja disalurkan kepada asnaf yang terkesan dan hilang punca pendapatan kerana penularan wabak Covid-19. Oleh itu, sekali lagi saya menyeru kepada rakyat untuk membayar zakat," titah baginda.

Tengku Hassanal seterusnya menasihatkan rakyat untuk sama-sama menggandakan ibadah seperti solat sunat tahajud, membaca al-Quran dan memperbanyak sedekah memandangkan bulan Ramadan sudah memasuki 10 malam terakhir. - Bernama