Kedudukan Haniza ditentukan selepas siasatan selesai

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Sebarang keputusan berhubung kedudukan Haniza Mohamed Talha sebagai Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor akan diumumkan selepas proses siasatan oleh Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) selesai.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses bagi menggantikan kedudukan Exco berkenaan bukannya mudah dan pihaknya perlu mendapatkan pengesahan laporan disiplin melibatkan Haniza terlebih dahulu.

"Beliau masih dalam proses tindakan disiplin dan soal siasat. Penggantungan atau tak, kena tunggu siasatan selesai," katanya kepada wartawan menerusi sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor hari ini.

Sebelum ini, PKR mengambil keputusan untuk menggantung Haniza yang juga Ketua Wanita PKR; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; Setiausaha PKR Selangor, Mohd Radzlan Jalaludin dan Ketua Cabang Kudat, Rahimah Majid.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai desas-desus kedudukan Pakatan Harapan (PH) di Selangor yang dikatakan goyah selepas kononnya wujud Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Amirudin berkata, perkara itu hanyalah propaganda murahan semata-mata.

"Mereka buat cerita itu (kononnya PH goyah) tapi ia hanya mimpi di siang hari," katanya.

Beliau turut yakin ADUN-ADUN PH di Selangor berpendirian tegas dan menyokong gabungan Pakatan Harapan untuk terus mentadbir Selangor.

"Ini (PH goyah) hanya propaganda murahan untuk mencalarkan imej kerajaan Selangor dan menutup masalah mereka," katanya.

Artikel Berkaitan: