KKMM sedang nilai cadangan bantu industri media

Saifuddin - Foto: Bernama
Saifuddin - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang menilai cadangan bantuan komersial, perundangan untuk membantu industri media tempatan yang terjejas akibat Covid-19.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau mengambil maklum beberapa cadangan dikemukakan iaitu membeli ruang pengiklanan secara konsisten, memaksa syarikat gergasi teknologi seperti Google dan Facebook membayar penggunaan kandungan media dan berita serta penilaian semula rejim cukai.

"Itu antara yang dicadangkan beberapa tokoh wartawan dan pengusaha media, kita akan bincang mengenai perkara ini dan akan lihat sejauh mana kita boleh membantu," katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama di sini hari ini.

Baru-baru ini perkara itu disuarakan oleh pengusaha media tempatan yang mahu campur tangan kerajaan dalam membantu memastikan industri media yang juga terkesan teruk akibat 'gangguan' teknologi digital agar terus bernafas.

Sementara itu, Saifuddin berkata, kementeriannya telah membentangkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikemukakan persatuan penggiat seni dan filem dalam mesyuarat khas mengenai Covid-19 untuk membolehkan golongan tersebut meneruskan penggambaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"SOP itu telah dibentang pada Selasa lepas namun belum ada keputusan kerana jawatankuasa dan Majlis Keselamatan Negara masih menilai kesesuaian untuk diberi kelulusan dan kita banyak bergantung kepada perkembangan terkini ‘peperangan’ kita dengan Covid-19.

"Pengambaran memang boleh kita buat dengan penjarakan sosial tetapi yang timbul nanti adalah bagaimana sesuatu latar itu hendak dijalankan.

“Memang SOP mencadangkan tiada sentuhan tetapi kena lihat skrip juga...kita bincang panjang lebar di mesyuarat itu, Kita cuba terbaik untuk meyakinkan mereka tetapi keputusan itu belum dibuat lagi dan sedang dipertimbangkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, media melaporkan rintihan penggiat seni yang meminta untuk dibenarkan kembali bekerja ketika PKPB.- Bernama