X

Kindly register in order to view this article
!

Gerakan sokong Muhyiddin demi rakyat

Dominic Lau
A
A

SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) hari ini sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, keputusan itu diambil demi kepentingan rakyat dan negara terutamanya dalam menghadapi situasi kritikal ketika ini untuk memerangi jangkitan koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, apa yang rakyat mahu pada ketika ini adalah untuk kerajaan mengukuhkan semula ekonomi negara dan memutuskan rantaian Covid-19 dengan segera.

Menurutnya, negara kini menerima impak teruk susulan Covid-19 sehingga ekonomi meleset, rakyat hilang pekerjaan dan sebagainya.

"Disebabkan itu Malaysia perlu kekalkan kestabilan politik untuk memulihkan ekonomi bagi melawan Covid-19.

"Malah, di bawah kepimpinan Muhyiddin sejak menggalas tugas Perdana Menteri pada 29 Februari lalu, beliau menunjukkan prestasi yang sangat memuaskan dalam tempoh kurang 100 hari," katanya pada sidang akhbar menerusi aplikasi Zoom Meeting bersama petugas media hari ini.

Beliau berkata, sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin dengan pantas mengambil beberapa pendekatan untuk menangani penularan Covid-19 termasuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan terbukti setakat ini pencegahan dibuat sangat berkesan berbanding negara lain.

Menurutnya, kerajaan juga memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion serta Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat PKS Tambahan bernilai RM10 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Muhyiddin mengotakan janji untuk bertanggungjawab kepada rakyat dan jelas beliau adalah Perdana Menteri yang mengambil berat soal kebajikan rakyat.

"Justeru, Gerakan sebagai parti politik bertanggungjawab serta profesional kini bersama rakyat untuk memberikan sokongan serta kerjasama sepenuhnya kepada Perdana Menteri dalam mengatasi cabaran ketika ini," katanya.

Selasa lalu, Barisan Nasional (BN) menegaskan akan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri jika ada usul undi tidak percaya dibuat di Parlimen pada 18 Mei ini.

Namun sehari selepas itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dalam satu kenyataan memberitahu Persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung 18 Mei ini hanya akan menyaksikan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam perkembangan lain, Dominic turut mengingatkan semua parti politik untuk menghentikan pertengkaran politik dan memberi tumpuan kepada usaha memerangi Covid-19 serta memulihkan negara.

"Memang ada golongan politik kata, politik lawan tetap lawan tapi ini bukan masanya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus