Dana untuk pembinaan galeri Allahyarham Zaibo

A
A

PENGASAS Positive Music 4 Positive People (PM4PP), Saiful Azlan Freezailah, 42, tampil untuk mengadakan sebuah persembahan Mengenang Zaibo: Menghormati Zaibo, akhir Januari ini.

Saiful berharap mereka dapat merealisasikan impian arwah Zaibo sekali gus membantu pendapatan dan sebagai perbelanjaan hidup buat sementara waktu kepada keluarga.

"Ketika hayatnya (arwah Zaibo) dia telah berbakti kepada industri seni dan hiburan tempatan. Karakternya yang kelakar bersahaja semasa berlakon buat semua orang yang menonton terhibur.

"Oleh sebab itu, kami PM4PP terpanggil untuk mewujudkan acara persembahan ini sebagai balasan untuk arwah dalam pembabitan seninya.

"Sekali gus dapat membantu isteri arwah memenuhi impian suami dan sebagai perbelanjaan sehari-hari," katanya.

Saiful ditemui ketika majlis sidang media Mengenang Zaibo: Menghormati Zaibo, semalam.

Persembahan melibatkan lebih daripada 20 orang pelbagai latar penggiat seni itu bakal berlangsung pada 26 Januari bertempat di The Space, Oasis Village, Oasis Ara Damansara bermula pukul 1 tengah hari sehingga 9 malam.

Harga tikethanya RM20 sahaja dan akan disalurkan terus kepada isteri arwah.

Allahyarham dikenali dengan watak Pak Selamat dalam sitkom Spanar Jaya meninggal dunia akibat kanser esofagus tahap 4 di kediamannya di Rengit, Johor, tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Hawa Sawal, 52, dan sembilan anak dengan empat daripada mereka masih bersekolah.