Hasrat arwah untuk balik berjalan kaki ke Terengganu dihalang ibu

Arwah (bercermin mata) bersama keluarganya semasa Hari Raya tahun lepas di kediaman mereka.
Arwah (bercermin mata) bersama keluarganya semasa Hari Raya tahun lepas di kediaman mereka.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- "Sebelum bertolak pada Jumaat lalu, arwah ada menghubungi ibunya memaklumkan dia mahu pulang ke kampung dengan berjalan kaki dengan alasan terlalu rindukan anak perempuan tunggalnya.

"Tetapi dilarang ibunya kerana risau keselamatan arwah dan minta agar bersabar sedikit masa lagi," kata Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid.

Beliau yang mewakili keluarga kepada Allahyarham Mohd Haszlee Hashim, 30, berkata, arwah yang juga anak kedua daripada tiga beradik berada di Segamat, Johor sejak hujung tahun lalu untuk bekerja.

Katanya, berdasarkan apa yang diceritakan kakaknya, arwah tak pernah keluar dan berjauhan dengan keluarga serta kakaknya sendiri yang menghantar arwah ke Segamat, Johor.

"Arwah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sana (Segamat, Johor) dan berhenti kerja Januari lalu namun ketika mahu mencari kerja yang baharu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Arwah menyatakan hasrat mahu balik ke Kuala Terengganu kerana merindui anaknya berusia tujuh tahun dan keluarganya di kampung di daerah ini.

"Dia ada meminta kakaknya mengambilnya di Segamat, Johor kerana tidak mempunyai kenderaan selain pengangkutan awam juga tidak beroperasi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Muhammad Rafieudin berkata, kali terakhir arwah menghubungi ibunya pada malam Sabtu lalu dan ketika itu dia memaklumkan sudah berada di Kuantan.

"Difahamkan, atas beberapa faktor, arwah mungkin berpatah balik dan ahli keluarga yang gagal menghubungi arwah pada Ahad lalu meminta bantuan polis mengesan arwah.

Artikel Berkaitan:

"Mayat arwah ditemukan meninggal dunia di tepi jalan di Muadzam Shah, Pahang pada Isnin dan ahli keluarga mangsa mengesahkan identiti arwah melalui gambar yang dihantar polis kepada keluarga mangsa di Kuala Terengganu menggunakan telefon bimbit mangsa," katanya.

Menurut Muhammad Rafieudin lagi, arwah memang menyayangi anaknya dengan separuh daripada gajinya disimpan untuk ibu dan anak tunggalnya.

"Memang sebak mendengar cerita daripada ahli keluarga mangsa dan mereka mewakilkan saya kerana tidak bersedia memandangkan arwah pergi secara tiba-tiba," katanya.

Media sebelum ini ada melaporkan seorang lelaki tekad untuk pulang bersendirian ke kampung untuk menemui keluarganya dengan berjalan kaki dari Johor ke Terengganu.

Namun, ketika dalam perjalanan, hajat tersebut tidak kesampaian apabila dia ditemukan meninggal dunia di tepi jalan di Rompin, Pahang.

Hasil bedah siasat, mangsa disahkan positif koronovirus (Covid-19).