'Tukar kerajaan 'tempang' Kedah perkembangan baik untuk rakyat'

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jangkaan berlaku perubahan tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah yang bakal diambil alih Perikatan Nasional dianggap satu perkembangan baik yang dialu-alukan rakyat.

Setiausaha Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, keadaan negeri itu sedikit tempang ketika ini susulan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional, tetapi menganggap kerajaan itu extension (susulan) daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, perkembangan terbaharu situasi politik negeri Kedah memastikan keadaan tempang itu dimurnikan dan pihaknya yakin kerajaan negeri itu akan menjadi kerajaan Perikatan Nasional.

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang kepercayaan terhadap Mukhriz, PN ambil alih Kedah

"Saya kira itu satu perkembangan yang baik yang dialu-alukan oleh semua rakyat kerana baru-baru ini ada sedikit tempangnya.

"Ini disebabkan bekas MB Kedah adalah Naib Presiden Parti Bersatu yang merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional tetapi menganggap kerajaan itu extension (susulan) kepada kerajaan PH.

"Jadi sekarang perkara itu dimurnikan. Kerajaan (negeri) Kedah adalah Insya-ALLAH kerajaan Perikatan Nasional," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Dewan Tertinggi BN di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua ADUN PKR keluar parti

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian bagi mengulas kedudukan Kerajaan Negeri Kedah yang diketuai Mukhriz yang hilang majoriti susulan peletakan jawatan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelmarin.

Pengumuman ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadikan Perikatan Nasional memiliki 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Azman pada sidang akhbar bersama Dr Robert memaklumkan mereka hilang kepercayaan kepada kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan parti itu kini berpecah-belah.