Negeri Sembilan benar solat Jumaat, Aidilfitri

Mohamed (kanan) dan Mohd Zairi pada sidang akhbar di Menara MAINS di sini hari ini.
Mohamed (kanan) dan Mohd Zairi pada sidang akhbar di Menara MAINS di sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan membenarkan solat Jumaat dan solat Aidilfitri di masjid dan surau yang terpilih sahaja dengan syarat bilangan jemaah maksimum seramai 12 orang sahaja.

Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Mohamed Husein berkata, jemaah seramai 12 orang berkenaan ialah pegawai dan ahli jawatankuasa masjid yang terpilih sahaja.

Menurutnya, perintah berkenaan dikeluarkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dengan persetujuan Undang Yang Empat serta Tuanku Besar Tampin.

"Untuk solat Jumaat pertama esok, masjid yang dibenarkan ialah Masjid Negeri di Seremban dan satu masjid di setiap daerah.

"Namun pada minggu hadapan kita akan tambah lagi masjid yang difikirkan boleh mematuhi SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan pihak berkuasa. Bilangan jemaah adalah terhad minimum empat orang dan maksimum 12 orang," katanya pada sidang akhbar di Menara MAINS di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, masyarakat Islam hendaklah melaksanakan solat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing.

Beliau berkata, penguatkuasa MAINS akan melakukan pemantauan di masjid terlibat bagi memastikan SOP ditetapkan dipatuhi.

Selain itu katanya, Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan MAINS telah membuka Pejabat Kutipan Zakat di setiap daerah bermula semalam.

Artikel Berkaitan:

Mohamed berkata, pembukaan pejabat kutipan itu bagi memudahkan masyarakat Islam yang menghadapi kesukaran untuk menunaikan zakat harta dan fitrah secara dalam talian.

"Waktu urusan dari jam 9 pagi sehingga 4 petang. Pihak Baitulmal juga akan buka kaunter zakat 'mobile' di masjid-masjid terpilih di setiap daerah bermula esok.

"Pembukaan kaunter mobile ini lebih difokuskan di kawasan luar bandar yang sukar mendapatkan capaian internet," katanya.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Mohd Zaidi Ramli.