X

Kindly register in order to view this article
!

Bukan masa bertikam lidah: Sultan Johor

Sultan Ibrahim
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa sekarang bukan masanya pemimpin bertegang urat dan bertikam lidah untuk mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi.

Titah Sultan Johor, tindakan tersebut akan melahirkan satu virus yang lebih berbahaya iaitu virus perpecahan yang kini menular dalam kalangan pemimpin politik negara.

"Virus ini sudah menular apabila berlaku pergolakan dan perebutan kuasa yang merunsingkan rakyat, menggugat kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara.

"Mereka yang dijangkiti virus ini akan lupa diri dan tidak pentingkan tentang keperluan rakyat asalkan dapat apa yang dikejar untuk diri sendiri," titah baginda semasa merasmikan Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir; Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Speaker DUN Johor, Suhaizan Ka'iat hadir sama dalam majlis tersebut.

Baginda bertitah, virus perpecahan itu mudah merebak melalui saluran media sosial dibantu ejen-ejen dan cyber troopers yang menjadi batu api bagi membangkitkan isu sensasi untuk menambah api kebencian dalam kalangan pemimpin politik.

"Saya berharap virus ini dapat dibendung bagi mengekalkan perpaduan dan keharmonian rakyat yang kita bina selama ini," titah baginda.

Sultan Johor bertitah, semua ADUN perlu berganding bahu membantu rakyat yang dalam kesusahan akibat penularan koronavirus (Covid-19).

Sementara itu, Sultan Johor merakam penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang berkhidmat dalam menangani Covid-19.

Baginda turut melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang menghulurkan bantuan semasa rakyat berdepan suasana sukar ketika ini.

Sultan Johor menyeru rakyat supaya bersama-sama bertanggungjawab menjaga kesihatan masing-masing dengan mengamalkan normal hidup baharu seperti memakai topeng muka dan cecair pembasmi kuman selain mengekalkan jarak sosial.

"Saya percaya dengan semangat bekerjasama dan sikap prihatin antara satu sama lain, kita akan dapat harungi dugaan yang mencabar ini.

"Marilah kita berdoa ke hadirat ALLAH SWT semoga wabak yang melanda negara akan segera hilang dan semua rakyat dapat jalani hidup yang sejahtera. Saya berdoa agar negeri Johor kekal aman dan makmur, membangun dengan rakyat yang bersatu padu dan muafakat," titah baginda.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!