Kemelut politik Kedah, bukti Muhyiddin ada sokongan kuat

Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Islam Se-Malaysia (Pas) menyifatkan perkembangan terbaharu yang berlaku di Kedah membuktikan kerjasama Perikatan Nasional (PN) semakin kuat dan diterima baik oleh rakyat manakala Pakatan Harapan (PH) semakin lemah.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, Pas yakin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mempunyai sokongan penuh daripada parti gabungan yang membentuk PN termasuk pemimpin dan ahli akar umbi untuk terus memimpin negara.

"Pas mendukung penuh kepimpinan Perdana Menteri untuk terus menerajui pentadbiran negara sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

"Pelantikan beliau adalah sah dengan perkenan Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam kuasa melantik Perdana Menteri yang tidak terikat dengan mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Hilang kepercayaan terhadap Mukhriz, PN ambil alih Kedah

Beliau berkata, Perdana Menteri selaku tonggak negara dan barisan menteri kabinet serta pegawai kerajaan yang berdedikasi telah dan terus komited untuk menjaga kepentingan kesihatan dan ekonomi rakyat bagi menghadapi situasi genting wabak Covid-19 yang sedang melanda.

Walaubagaimanapun katanya, terdapat kenyataan dan tindakan sebahagian pimpinan PH yang mempertikaikan kesahihan kerajaan pimpinan Muhyiddin.

"Ini jelas tindakan tidak wajar yang mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong.

"Pas komited mendukung kepimpinan yang mengutamakan kepentingan rakyat dan memperjuangkan Perlembagaan Negara; menghormati kesucian agama Islam, hak bangsa Melayu dan Bumiputera, memelihara institusi Raja Berperlembagaan dan terus memperkukuhkan hubungan antara kaum,"katanya.

Artikel Berkaitan: