Messi punca Coutinho hambar

Kelibat Coutinho (kanan) lebih banyak dibayangi kehebatan Messi yang dianggap nadi utama Barcelona.
Kelibat Coutinho (kanan) lebih banyak dibayangi kehebatan Messi yang dianggap nadi utama Barcelona.
A
A
A

KEGAGALAN bekas tonggak Liverpool, Philippe Coutinho menyerlah bersama gergasi Sepanyol, Barcelona adalah disebabkan dominasi Lionel Messi di Camp Nou.

Bekas tonggak Barcelona, Frank de Boer berkata, karakter serta corak permainan kapten Barcelona itu banyak mempengaruhi momentum pemain lain termasuk Coutinho.

Menurutnya, Coutinho hadir bagi mempertajamkan lagi jentera serangan The Blaugrana dengan status pemain terbaik ketika bersama Liverpool.

“Coutinho tidak lagi memiliki kebebasan dalam penguasaan dan mengendalikan bola semasa di Barcelona. Ia situasi yang cukup berbeza ketika dia bersama Liverpool sebelum itu.

“Coutinho adalah pemain yang akan mencari dan bukan menunggu bola. Ketika di Liverpool ini antara faktor menyebabkan dia sentiasa konsisten menyerlah sehingga digeruni pemain lawan.

“Namun, bersama Barcelona, peranan itu diambil alih oleh Messi menyebabkan Coutinho gagal meletakkan diri dalam prestasi terbaik - tidak seperti ketika dia berada di Liverpool,” katanya.

Selepas hampir lima musim memperkuat cabaran Liverpool mulai 2013, tonggak skuad kebangsaan Brazil itu berhijrah ke Camp Nou pada awal tahun 2018.

Namun, kehadiran Coutinho ternyata tidak memberikan impak seperti diharapkan Barcelona apabila dia dilihat gagal menyerap corak permainan The Catalan.

Artikel Berkaitan:

Ekoran itu, pihak pengurusan kelab Sepanyol itu mengambil keputusan meminjamkan Coutinho ke Bayern Munich musim ini.

“Barcelona berusaha menjadi kelab paling baik tetapi apabila sebuah kelab memiliki dua pemain seperti Coutinho dan Messi, ia pastinya menimbulkan banyak masalah.

“Coutinho adalah pemain yang luar biasa tetapi ada ketikanya dia tidak sesuai falsafah kelab. Mungkin dia akan lebih berjaya bersama kelab lain. Coutinho bukan pemain yang gagal, cuma dia hadir tidak kena pada masanya,” ujar de Boer.