Tiada arak, tiada pemandu mabuk

No Image Caption
A
A
A

SAMPAI bila lagi rakyat perlu dihidangkan dengan kisah-kisah sedih korban jalan raya akibat pemandu mabuk? Apa juga alasannya, keadaan ini sememangnya tidak boleh diterima lagi.

Pada 5 April lalu, seorang lelaki memandu dalam keadaan mabuk, merempuh sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bintulu, Sarawak. Lima hari kemudian, seorang warga emas memandu di bawah pengaruh alkohol merempuh kereta polis di sekatan jalan raya Op Covid-19 di Plaza Tol Petaling Jaya, Selangor.

Pada 24 April pula, dua lelaki ditahan polis selepas melanggar PKP dengan seorang daripadanya didapati memandu dalam keadaan mabuk di Laluan Sungai Pari di Ipoh, Perak.

Awal bulan ini pula, seorang anggota polis maut dirempuh dan dihempap pacuan empat roda dipandu lelaki mabuk ketika bertugas dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Selangor.

Pada setiap tahun terdapat banyak kes melibatkan pemandu mabuk dilaporkan, seolah-olah hukuman sedia ada tidak memadai untuk mencegah orang ramai daripada melakukan kesalahan itu.

Antara 2010 hingga April 2015, sebanyak 1,035 nahas melibatkan pemandu mabuk mengakibatkan 618 kematian.

Kemalangan itu juga membabitkan pihak ketiga termasuk pejalan kaki.

Pada masa ini, Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan terhadap pemandu mabuk.

Artikel Berkaitan:

Bagi kes melibatkan kematian pula, Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 cuma memperuntukkan denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Melihat saban tahun kita berhadapan kes kematian mangsa tidak bersalah akibat perbuatan pemandu mabuk, sudah tiba masanya satu undang-undang lebih berat diwujudkan untuk menghukum pemandu yang memandu dalam pengaruh alkohol.

Kerajaan tidak boleh mengambil sikap tunggu dah lihat lagi. Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menunjukkan kemungkinan nahas berlaku membabitkan pemandu mabuk adalah 13 kali ganda lebih tinggi.

Denda sahaja tidak memadai. Memandu di bawah pengaruh alkohol boleh dikategorikan sebagai sikap pemandu yang tidak prihatin terhadap keselamatan diri sendiri dan orang lain.

Banyak pihak beranggapan undang-undang sedia ada tidak mampu mengawal masalah pemandu mabuk yang memandu sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.

Di Rusia, lesen memandu digantung seumur hidup manakala Taiwan sudah meluluskan draf pindaan untuk hukuman mati kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

Undang-undang Singapura pula menetapkan pesalah kali pertama dikenakan denda RM20,500 (AS$5,000) atau penjara enam bulan. Bagi kesalahan kedua, denda dan tempoh penjara boleh meningkat 500 kali ganda.

Finland dan Sweden pula terus menjatuhkan hukuman setahun penjara dan kerja-kerja buruh kasar kepada pemandu mabuk, manakala Afrika Selatan mengenakan hukuman denda sebanyak AS$10,000 (RM40,000) atau penjara 10 tahun dan dalam sesetengah kes, kedua-duanya sekali.

Kita perlu mengambil iktibar daripada kes-kes yang berlaku dan jangan biarkan ia berterusan. Kematian akibat pemandu mabuk ini telah menyaksikan lebih ramai isteri kehilangan suami, ibu kehilangan anak dan anak-anak kehilangan tempat bergantung.

Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mengawal penjualan arak atau minuman yang memabukkan secara terbuka. Di negara ini, arak boleh dibeli dengan mudah di kedai-kedai serbaneka, kedai runcit dan kedai 24 jam.

Penjualan arak yang tidak terkawal hanya mengundang bencana kepada orang awam. Ada yang berkata, tiada arak, tiadalah pemandu mabuk!

Ironisnya, ada negara bukan Islam yang mengenakan sekatan penjualan arak seperti Afrika Selatan dan Hong Kong. Mengapa negara kita tidak boleh mengambil tindakan yang sama?

Malaysia wajar mencontohi Brunei yang melarang premis menjual dan meminum alkohol secara terbuka.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Editorial Sinar Harian