Tadabbur al-Quran jarakkan diri daripada huru-hara dunia politik

No Image Caption
A
A
A

Kepala Merak Jalanan rasa berserabut melihat perkembangan politik mutakhir tanah air. Daripada insiden bergaduh di dalam Dewan Undangan Negeri, saman berjuta-juta ringgit seorang menteri sehinggalah tindakan wakil rakyat keluar parti yang meruntuhkan sebuah kerajaan negeri.

Tatkala negara masih bergelut memerangi wabak Covid-19, tindakan segelintir ahli politik ini membuat rakyat Malaysia pening.

Maka, pada hari ke-20 Ramadan hari ini, ada baiknya Merak Jalanan tenangkan diri dengan menelaah seketika kitab suci al-Quran. Lebih-lebih lagi hari ini berlangsungnya program World #QuranHour.

Program tahunan itu sudah lima tahun dianjurkan pada setiap Ramadan. Sambutan orang ramai termasuk daripada kalangan bukan Islam khabarnya sangat menggalakkan. Lebih 3,000 lokasi di Malaysia dan 300 lokasi di 76 negara terlibat.

Merak Jalanan juga diberitahu World #QuranHour dijangka disertai lebih lima juta peserta.

Membaca al-Quran dan menghayati pengajarannya boleh menjadi solusi kepada kemelut kehidupan manusia, bukan sekadar mendapat pahala.

Benar, membaca al-Quran di tengah-tengah penularan ganas wabak atau sewaktu tertekan akibat hilang pekerjaan juga mampu mencetuskan ketenangan.

Namun lebih penting, kitab suci itu membentuk kesempurnaan akhlak dan tanggungjawab. Seorang bos, suami, doktor atau ahli sukan yang menghayati al-Quran pastilah berbeza etosnya berbanding yang sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Kejadian ahli politik bergaduh dan saling memaki juga sepatutnya tidak berlaku jika mereka menjadikan kitab suci itu sebagai panduan. Apa yang penting ialah sifat ikhlas dalam mempelajari al-Quran.

Merak Jalanan suka memetik pesanan Ustaz Datuk Ismail Kamus yang meninggal dunia pada hari Jumaat 15 Ramadan lalu: “Beramallah nanti ada balasannya. Hiduplah setakat yang boleh, nanti kita akan mati. Jangan berbuat dosa walau kecil sekali pun. Carilah pahala setakat yang terdaya.”