Bersama gemakan surah Ar-Rahman di Kelantan esok

Mohd Nazri (kanan) bersama kakitangannya menyokong penganjuran World #Quran hour.
Mohd Nazri (kanan) bersama kakitangannya menyokong penganjuran World #Quran hour.
A
A
A

KOTA BHARU - Pertubuhan Rumah Ngaji Kelantan mengajak orang ramai untuk sama-sama mengimarahkan program interaksi dengan al-Quran sempena World #QuranHour esok dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi Biro Latihan PRNNK, Dr Sharifah Mastura Syed Mohamad berkata, buat pertama kalinya program ini dilaksanakan mengikut caranya tersendiri dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19), tetapi tetap membawa pengisian bermanfaat.

Menurutnya, berikutan keadaan yang tidak mengizinkan setakat ini Hospital Raja Perempuan Zainab II, KPJ Perdana Specialist, Kota Bharu Medical Centre (KBMC), Pusat Rawatan Komuniti dan Pusat Kuarantin Covid-19 Kelantan menyatakan kesediaan untuk menjayakannya esok.

Penolong Pegawai Pertahanan Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kelantan, Mohd Hanif Omar (kanan) menerima al-Quran daripada Norhayati di pusat kuarantin hari ini.
Penolong Pegawai Pertahanan Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kelantan, Mohd Hanif Omar (kanan) menerima al-Quran daripada Norhayati di pusat kuarantin hari ini.

“Mereka memberi jaminan untuk mengikut SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tidak mahu ketinggalan bagi sama-sama menggemakan surah Ar-Rahman selama satu jam bermula 12 tengah hari,” katanya hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Ketua Biro Penyelaras Biro Wakaf Quran, Norhayati Abdul Halim menyerahkan al-Quran yang diwakafkan menerusi Yayasan Warisan Rumah Ikhlas di Kota Bharu dan Pengkalan Chepa.

Al-Quran wakaf berkenaan diserahkan kepada KPJ Perdana Specialist, KBMC, Pusat Rawatan Komuniti dan Pusat Kuarantin Covid-19 Kelantan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Perdana, Zawari Abdullah berkata, beliau bersama lebih 15 orang kakitangan yang bertugas akan mengisi masa rehat selama satu jam untuk sama sama membaca surah Ar-Rahman.

Artikel Berkaitan:

Warga KPJ Perdana menerima al-Quran wakaf yang disampaikan oleh Pertubuhan Rumah Ngaji Kelantan.
Warga KPJ Perdana menerima al-Quran wakaf yang disampaikan oleh Pertubuhan Rumah Ngaji Kelantan.

Turut menyokong program tersebut, Pengurus Besar KBMC, Mohd Nazri Yaacob berkata, pihaknya juga mengalu-alukan pesakit yang dirawat untuk turut sama menjayakan program berkenaan.

“Kakitangan yang bekerja esok juga disarankan untuk membaca al-Quran di tempat di tempat mereka bertugas pada masa yang ditetapkan oleh penganjur supaya mereka masing-masing boleh menghayati kelebihan surah Ar-Rahman,” katanya.

Untuk makluman bersama, selain sokongan rakan sinergi utama untuk menyebarluaskan misi ini seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Islamic Tourism Center Malaysia, empat stesen televisyen dan platform digital akan menayangkan program satu jam berinteraksi dengan al-Quran, Baca, Faham dan Amal secara siaran langsung menjelang zuhur bermula 12 tengah hari hingga 1 petang esok.

Stesen TV dan media yang telah mengesahkan komitmen untuk bersama ialah TV Alhijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis, Sinar Harian dan Ideaktiv.

Program yang dicetuskan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Malaysia, kali ini akan bekerjasama dengan Ar Rahman Quranic Learning Center dari Indonesia bagi mengisi program 1 jam ini.

Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung di TV Alhijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis dan atas talian di FB; Sinar Harian, TV AlHijrah, World #QuranHour.