Kerajaan bincang dengan PDRM tempatkan anggota di kaunter LHDN

LHDNM
LHDNM
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menempatkan anggotanya di kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas Kementerian Kewangan mengumumkan rayuan bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) di lanjutkan sehingga 31 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan penjarakan sosial bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu koronavirus (Covid-19).

"Saya semalam, saya menerima banyak berita dan gambar mengenai berkaitan pematuhan SOP rakyat Malaysia di mana ada yang ikut dan tidak ikut. Saya akan berbincang dengan PDRM untuk memastikan mereka menempatkan anggota di kaunter LHDN agar SOP penjarakkan sosial oleh pelanggan diamalkan," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung kebimbangan kemungkinan tercetus kluster baharu Covid-19 selepas orang ramai menyerbu kaunter LHDN bagi membuat rayuan BPN.

Mengulas lanjut beliau berkata, menasihati orang ramai agar tidak tergesa-gesa ke kaunter LHDN kerana tempoh lanjutan rayuan masih panjang.

"Saya ingin pesan tidak kira di kaunter LHDN, pasar raya, restoran, pasar dan pusat beli belah, berbarislah mengikut SOP yang ditetapkan. Amalkan penjarakkan sosial," katanya.

Artikel Berkaitan: