[VIDEO] 'Terima kasih penyumbang, Sinar Harian dan IJN'

A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada ibu bapa sanggup melihat si cilik menahan kesakitan, namun itulah realiti terpaksa dihadapi keluarga ini apabila anaknya disahkan menghidap 'Tetralogy Fallot' (TOF).

TOF ialah sejenis kecacatan jantung kongenital (bawaan sejak lahir) dengan empat keabnormalan utama iaitu jantung berlubang, penyempitan salur darah atau injap, penebalan struktur dinding jantung kanan dan overriding aorta.

Penghidap TOF lazimnya kanak-kanak akan merasai simptom seperti kulit, bibir dan kuku kebiruan (sianosis), mudah letih, sesak nafas, kerap berpeluh serta potensi tumbesaran terbantut.

Dengan jumlah kos pembedahan mencecah lima angka, ia sudah semestinya merunsingkan hati keluarga.

Namun, keluarga ini cukup bertuah apabila menjadi salah seorang penerima sumbangan hasil kutipan derma menerusi Sinar Di Hati: Sinar Untuk Jantung Si Kecil, inisiatif kolaboratif Sinar Harian dan Institut Jantung Negara (IJN).

Peniaga, Sofiya Maisarah Abdullah, 18, berkata, Muhammad Azuarauff Abdul 'Azim, 3, dipercayai menghidap masalah jantung selepas menjalani pemeriksaan bulanan, rutin yang sama seperti bayi lain.

"Doktor kata ada terdengar bunyi pada dada macam berkahak, mula daripada situlah doktor sahkan anak saya menghidap jantung berlubang.

"Pada 2023 kami bawa Muhammad Azuarauff ke Hospital Kemaman, Terengganu tapi keputusannya tak jelas.

"Kami ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang barulah disahkan ada masalah jantung berlubang. Kemudian dari HTAA buat rawatan susulan tujuh bulan sekali di IJN," katanya ketika ditemui pemberita di IJN baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Pada mulanya, ibu muda itu bersama suami, Mohamad Azriiq Mohd Asri, 34, mengakui buntu memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi menampung kos pembedahan anak sulungnya.

Bagaimanapun, Sofiya memaklumkan, keluarga seolah-olah tidak percaya selepas mengetahui Muhammad Azuarauff antara yang dibiayai sebanyak RM30,000 daripada Sinar Harian dan IJN.

"Kos keseluruhan RM55,000, subsidi daripada Unit Taksiran Khas Kementerian Kesihatan Malaysia (UTTKKM) sebanyak RM25,000 manakala RM30,000 hasil kutipan derma Sinar Harian dan IJN. Rasa macam tak percaya, betul ke ada pihak yang tampung kos pembedahan?

"Kalau diikutkan tarikh asal pada 14 Disember depan, tapi dianjak kepada Isnin, 21 September kerana kos pembedahan sudah mencukupi.

"Tak tahu macam mana nak digambarkan perasaan syukur ini. Terima kasih sangat kepada penyumbang, Sinar Harian dan IJN," ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!