Maut ketika cari isyarat internet

Kelihatan Masjid Baburrahman yang terletak bersebelahan rumah Rudi di Tana Ejaya, Sulawesi Selatan, Indonesia.
Kelihatan Masjid Baburrahman yang terletak bersebelahan rumah Rudi di Tana Ejaya, Sulawesi Selatan, Indonesia.
A
A
A

JAKARTA - Seorang pelajar maut selepas terjatuh dari tingkat atas sebuah masjid di kampungnya di Sinjai, Sulawesi Selatan semasa mencari isyarat Internet bagi menyiapkan tesisnya, baru-baru ini.

Menurut laporan The Jakarta Post yang memetik kenyataan Ketua polis Sinjai, Adj Sr Comr Iwan Irmawan berkata, pelajar terbabit Rudi Salam, 25, berada di tingkat atas Masjid Baburrahman yang sedang diubah suai bersama empat orang penduduk kampung yang lain sebelum terjatuh dan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

"Rudi terjatuh dari tingkat atas setinggi empat meter apabila terpijak lantai yang diperbuat daripada kayu dan papan lapis ketika mencari isyarat Internet. Impak daripada itu, bahagian kanan kepalanya retak," katanya.

Menurut ibunya, Rudi yang merupakan mahasiswa Jabatan Agroteknologi, Universiti Hasanudin, Makassar, pulang ke kampung berikutan wabak koronavirus (Covid-19) dan pergi ke masjid yang terletak bersebelahan rumahnya itu untuk mengumpul bahan bagi menyiapkan tesisnya.

Sejak 15 Mac lalu, kerajaan Indonesia telah mengarahkan ribuan pelajar di negara itu untuk belajar dari rumah dan polisi itu dikatakan membebankan pelajar yang mempunyai sambungan internet yang lemah di kediaman mereka. -Agensi

Artikel Berkaitan: