QIAM pertikai tindakan Dr Mahathir

Wan Ahmad Wan Omar
Wan Ahmad Wan Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Ketika kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertungkus-lumus mengekang penularan koronavirus (Covid-19), negara dikejutkan dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin.

Ketua Sektor Politik Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, tindakan Dr Mahathir amat mengecewakan apabila dilihat cuba mempertikaikan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Sehubungan itu, QIAM membangkitkan beberapa persoalan untuk dijawab oleh Dr Mahathir dan pengamatan rakyat yang prihatin terhadap pergolakan politik negara.

“Bukankah pelantikan itu sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan selepas pemilihan dibuat Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan? Tidakkah keputusan tersebut terpaksa dibuat Seri Paduka bagi menyelesaikan kemelut krisis politik selepas Tun Dr Mahathir meletak jawatan secara tiba-tiba? Bukankah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) iaitu parti yang menang sejumlah kerusi pada PRU14?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Usul dikemukakan Dr Mahathir itu diterima Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibawa ke sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei nanti.

Mengulas lanjut Wan Ahmad berkata, Muhyiddin berhak memilih rakan politik dalam kalangan ahli Parlimen yang menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi menubuhkan kerajaan majoriti mengikut Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

Sehubungan itu katanya, tindakan Dr Mahathir mencetuskan ketegangan politik ketika ini turut dipersoalkan apabila mahu menyingkirkan kerajaan Melayu-Islam yang mendapat dukungan Bersatu, UMNO, Pas serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Tidakkah kestabilan politik perlu diutamakan ketika ini? Apa kebaikan kepada rakyat di sebalik tindakan Tun Dr Mahathir itu?

Artikel Berkaitan:

“Rakyat terutama orang Melayu rata-rata sudah bosan dengan politik perebutan kuasa. Kalau Tun Mahathir sayangkan bangsanya, apa manfaatnya beliau berbuat sedemikian?

“Justeru, QIAM dengan tegas ingin menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.