Pindah gerai tepi jalan ke lokasi strategik

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SUNGAI PETANI - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyarankan langkah proaktif dilaksanakan dalam usaha membangunkan ekonomi negeri.

Yang Dipertua DPMM Kedah, Datuk Mohd Zayad Md Ismail berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu melaksanakan pendekatan itu ke arah mewujudkan pembangunan ekonomi lebih kondusif dan mampan dengan langkah dicadangkan antaranya memindahkan gerai di bahu jalan ke lokasi lebih strategik selain menaik taraf tapak perniagaan.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, peniaga kecil terutama di bahu jalan terjejas teruk akibat tidak dibenarkan beroperasi sehingga kini.

"PBT perlu menyediakan tapak perniagaan yang teratur dan sistematik bagi meneruskan kelangsungan perniagaan mereka," katanya.

Selain itu menurutnya, kerajaan perlu memperketatkan pintu sempadan supaya kemasukan peniaga dan pekerja asing dapat dikawal terutama dari memasuki kawasan diiktiraf zon hijau di samping kerajaan negeri perlu mengutamakan usahawan serta pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan pekerjaan dan peluang perniagaan.

"Ia juga sebagai satu langkah berkesan bagi memastikan bahawa kerajaan amat prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi usahawan dan pekerja tempatan selepas pelaksanaan PKP,"katanya.

Tambah beliau, DPMM Kedah sentiasa bersedia untuk memberi sokongan melalui perkhidmatan latihan pembangunan modal insan dan usahawan seperti latihan pengurusan kewangan, pemasaran, pengurusan sumber manusia dan lain-lain.

Langkah berkenaan bukan sahaja dilihat dapat membantu pembangunan ekonomi negeri, bahkan merupakan salah satu daripada usaha untuk mewujudkan satu pelan prihatin terhadap pembangunan keusahawanan di Kedah.

Artikel Berkaitan: