Arab Saudi naikkan VAT tiga kali ganda

Mohammed al-Jadaan
Mohammed al-Jadaan
A
A
A

RIYADH - Menteri Kewangan Arab Saudi hari ini mengumumkan negara itu akan menaikkan cukai nilai tambah (VAT) sebanyak tiga kali ganda dan menghentikan pembayaran bulanan kepada rakyat.

Langkah itu dibuat di bawah langkah penjimatan terbaharu di tengah-tengah kemerosotan ekonomi akibat wabak koronavirus (Covid-19).

"Keputusan telah dibuat, elaun kos sara hidup akan dihentikan bermula Jun dan VAT akan dinaikkan daripada lima kepada 15 peratus berkuat kuasa 1 Julai depan," lapor Saudi Press Agency memetik kenyataan Mohammed al-Jadaan.

Langkah itu dibuat selepas Jadaan pada minggu lalu memberi amaran berhubung keputusan drastik yang akan diambil kerajaan di bawah rancangan kecemasan untuk mengurangkan perbelanjaan selepas kejatuhan harga minyak.

Menurutnya, beliau menjangkakan Riyadh akan kehilangan separuh daripada pendapatan minyak yang menyumbang kira-kira 70 peratus daripada pendapatan awam berikutan penurunan harga sebanyak dua pertiga sejak Januari lalu.

Jelasnya lagi, negara tersebut mungkin perlu membuat pinjaman hampir AS$60 bilion (RM260 bilion) pada tahun ini untuk mengatasi defisit anggaran yang besar.

Bulan lalu, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Saudi akan menguncup kepada 2.3 peratus pada 2020.

Pada 2018, Saudi bersama negara Teluk lain mengenakan cukai sebanyak lima peratus ke atas barangan dan cukai perkhidmatan untuk menjana pendapatan tambahan.

Artikel Berkaitan:

Negara pengeksport utama petroleum itu juga memperkenalkan elaun kos sara hidup berjumlah bilion Dolar kepada rakyat untuk mengatasi kesan peningkatan kos. - AFP