PKPB dilanjutkan, rakyat perlu tabah sambut raya tahun ini

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sedar tak sedar, sudah hampir dua bulan rakyat Malaysia tabah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) walaupun dalam keadaan ‘keterpaksaan’.

Arahan kerajaan sejak 18 Mac lepas dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam negara itu bukan sahaja mengubah rutin harian semua pihak, malah buat kali pertama, kebiasaan sambutan hari raya turut bertukar sepenuhnya apabila budaya balik kampung mahupun jamuan rumah terbuka terpaksa dilupakan tahun ini.

Ia apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan tempoh PKPB dilanjutkan, selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun depan, sekali gus menyaksikan pergerakan rentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak dibenarkan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan PKPB bermula 4 hingga 12 Mei bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka secara terkawal dan berhati-hati.

Bagi anak-anak yang berada di perantauan, raya kali ini mungkin agak hiba kerana tidak dapat mencium tangan ayah bonda di pagi raya, apatah lagi merasa juadah istimewa yang disediakan di pagi raya memandangkan perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan dalam tempoh itu.

Seperti kata perdana menteri, mungkin agak sayu, lebih-lebih lagi apabila berkumandang lagu 'dendang perantau' di corong radio, namun kita harus terus berhati-hati kerana wabak Covid-19 ini adalah musuh senyap yang boleh menyerang pada bila-bila masa.

Tetapi tak bermakna kita tidak boleh ziarah-menziarahi, cumanya ia dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama.

Seperti kebiasaannya semasa menyampaikan perutusan, Perdana Menteri tetap tidak lekang memberi peringatan agar rakyat tidak alpa dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh PKPB bagi memastikan pelaksanaan perintah itu memenuhi matlamatnya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan sememangnya diakui cakna membendung wabak Covid-19, dan kajian oleh sebuah agensi penyelidikan berpengkalan di Singapura menunjukkan bahawa Malaysia menduduki tempat keempat daripada senarai 105 negara dari segi tahap kepuasan hati rakyat terhadap usaha dilakukan kerajaan menangani Covid-19.

Mungkinkah juga akan ada sinar harapan untuk umat Islam mendirikan solat Jumaat, tarawih dan solat lima waktu serta solat sunat Aidilfitri di masjid selepas ini, susulan permintaan Muhyiddin agar rakyat memberikan sedikit lagi masa kepada pihak berkuasa agama Islam untuk memperhalusi SOP yang berkaitan.

Apa yang pasti, selepas SOP itu dimuktamadkan, ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam Persekutuan dan negeri-negeri untuk diperkenankan sebelum kerajaan mengumumkan kebenaran untuk solat berjemaah.

Malah isu Bantuan Prihatin Nasional (BPN) juga mendapat perhatian kerajaan pimpinan Muhyiddin setelah ada dalam kalangan warganet meluahkan rasa kecewa kerana rayuan bantuan kerajaan ditolak atas alasan tidak munasabah.

Lalu Muhyiddin mengumumkan lanjutan tempoh rayuan permohonan BPN sehingga 31 Mei ini.

Hari ini hari ke-55 pelaksanaan PKP dan hari ke-lapan PKPB. Keluk pandemik semakin berjaya diratakan, kawasan hijau bertambah, dan peningkatan kes pulih Covid-19 juga memberangsangkan.

Setakat semalam, seramai 96 pesakit dibenarkan keluar hospital, menjadikan keseluruhan kes pulih sebanyak 5,025 kes iaitu 75.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif iaitu 6,656 kes.

Hari ini juga masuk hari ke-18 umat Islam berpuasa dan pastinya semakin ramai orang sudah keluar berkumpul dan, membeli-belah dengan senang hati, maklumlah raya dah dekat.

Namun semua perlu akur bahawa peperangan melawan Covid-19 belum selesai, dengan satu persatu kluster Covid-19 muncul, yang terbaharu dikesan adalah kluster melibatkan sebuah pusat beli-belah di Cheras di sini, kluster di Pedas dan kluster tapak pembinaan di Setia Alam.- Bernama