Percaturan politik tidak diduga oleh Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

TIDAK sampai tiga bulan tempoh pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), dunia politik negara kembali bergolak.

Agak mengejutkan apabila kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dianggap berjaya menjalankan urus tadbir kerajaan dengan begitu baik termasuk dalam menangani ancaman pandemik Covid-19, kini boleh diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’.

Masakan tidak, dalam tiga hari lalu, negara digemparkan dengan berita Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin menjelang persidangan Parlimen yang akan diadakan pada 18 Mei ini.

Usul berkenaan yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Mei lalu dikecam sebahagian besar rakyat negara ini dan disifatkan sebagai tidak kena pada masanya.

Tindakan itu turut dianggap langkah terdesak Dr Mahathir dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan kembali tampuk kepimpinan kerajaan meskipun negara sedang menghadapi cabaran lebih getir iaitu ancaman Covid-19 dan kegawatan ekonomi.

Langkah terkini Dr Mahathir itu turut menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi Anwar sudah memberi jaminan bahawa PH tidak akan mengemukakan sebarang usul undi penentuan keyakinan (vote of confidence) terhadap Muhyiddin pada sidang Parlimen 18 Mei nanti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pernah menegaskan Umno tidak pernah menyertai PN, sebaliknya hubungan dengan PN hanya satu persefahaman untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan sendiri PH.

Pergolakan semakin sengit dengan Bersatu berdepan krisis politik dalaman yang meruncing dan ia kini berpecah kepada dua kem iaitu kem Muhyiddin dan kem Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

Pergolakan

Drama pergolakan dalaman Bersatu menjadi lebih menarik apabila Ketua Penerangan parti itu, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin mendakwa Dr Mahathir turut bersama dalam usaha membawa Bersatu keluar daripada PH sebelum mengubah fikiran pada saat akhir.

Krisis itu menjadi semakin parah apabila terdapat desas-desus Majlis Kepimpinan Tertinggi Bersatu akan membuat keputusan memecat Dr Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam satu mesyuarat tertutup yang dipercayai akan diadakan hari ini.

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, beliau merasakan kemelut kedua-dua kem itu memang sukar untuk dicari jalan penyelesaian dengan pelbagai kemungkinan boleh berlaku pada mesyuarat Bersatu hari ini.

Menurutnya, sebagai seorang pemimpin veteran dalam politik negara, tindakan Dr Mahathir mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin perlu ditangani oleh Presiden Bersatu dengan langkah berhati-hati dan tidak berlandaskan emosi.

“Saya percaya sebagai pemimpin veteran politik, Dr Mahathir lebih mengetahui mengapa usul undi tidak percaya kepimpinan Muhyiddin dikemukakan pada saat ini.

“Soal sama ada untuk meruntuhkan legitimasi moral Muhyiddin atau beliau melihat ia peluang terbaik untuk mengambil alih kuasa politik negara susulan gabungan kerjasama dengan Anwar akan memberi angka sokongan ahli Parlimen mencukupi, itu akan terjawab di Dewan Rakyat pada 18 Mei nanti.

“Di sebalik kemungkinan usul undi tidak percaya itu berkemungkinan tidak dibentangkan pada 18 Mei ini, budi bicara Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak boleh ditolak sama sekali. Sekiranya semua ahli Parlimen PH bertindak mendesak usul itu dibentangkan, tidak mustahil ia akan berlaku,” katanya mengenai kecenderungan politik Dewan Rakyat yang mempunyai ahli seramai 222 orang.

Bagaimanapun, Dr Sivamurugan berkeyakinan Muhyiddin juga sudah mempunyai perancangan rapi dalam menghadapi strategi politik sukar diduga daripada Dr Mahathir yang kini telah memperoleh sokongan Anwar dan pemimpin PH.