KPDNHEP tidak beri muka pada peniaga warga asing

Rosol (dua,kiri) melakukan lawatan kerja di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali.
Rosol (dua,kiri) melakukan lawatan kerja di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan memberi muka kepada warga asing yang memiliki kedai runcit di negara ini sekiranya mereka didapati terlibat dalam menaikkan harga barangan sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Timbalan Menteri, Datuk Rosol Wahid berkata, seramai tujuh warga asing di Kelantan yang memiliki kedai runcit telah diambil tindakan atas kesalahan menaikkan harga barangan sesuka hati.

"Selain Kelantan, kita juga sedang melakukan siasatan ke atas semua kedai runcit milik warga asing di seluruh negara untuk memastikan mereka ini tidak melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Sebab itulah kita minta pengguna supaya membuat laporan lengkap kepada KPDNHEP untuk memudahkan tindakan diambil ke atas pelaku," katanya selepas melakukan lawatan kerja di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Setiausaha KPDNHEP, Mohamed Zahari Razali, Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Tuan Shaharuddin Mohd Kia.

Menurutnya, kekurangan maklumat lengkap ketika mengemukakan laporan memberikan kesulitan kepada KPDNHEP untuk mengambil tindakan.

Rosol berkata, peringkat awal pelaksanaan PKP lalu pihaknya banyak menerima laporan berhubung salah laku pekedai yang menaikkan harga barangan sesuka hati.

Bagaimanapun katanya, laporan berhubung salah laku itu semakin menunjukkan penurunan ekoran tindakan tegas kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"KPDNHEP sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan dengan menaikkan harga barangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu memberi jaminan bekalan makanan dan barangan keperluan menjelang sambutan Aidilfitri pada 24 Mei ini dijangka mencukupi.

Katanya, kerajaan juga sedang meneliti harga barangan kawalan menjelang sambutan Aidilfitri bagi memastikan rakyat tidak terbeban.