'Arwah Adib tetap dalam ingatan kami'

Imam masjid, Zainuddin Hassan, 61, (depan) bersama pegawai masjid membacakan doa di pusara Muhammad Adib di Tanah Perkuburan
Imam masjid, Zainuddin Hassan, 61, (depan) bersama pegawai masjid membacakan doa di pusara Muhammad Adib di Tanah Perkuburan
A
A
A

KUALA KEDAH - Penduduk Kampung Tebengau Tepi Laut di sini tidak pernah melupakan Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim walaupun sudah dua tahun berlalu peristiwa hitam membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya itu.

Datuk saudaranya, Kassim Shaari, 70 berkata, penduduk kampung berkenaan mempunyai hubungan silaturahim yang sangat kuat antara satu sama lain menyebabkan pemergian Muhammad Adib memberi kesan di hati mereka kerana Allahyarham mempunyai keperibadian yang sangat disenangi ramai terutama warga tua.

"Kalau arwah pulang bercuti, pasti akan datang solat berjemaah di masjid ini. Dia hormat orang yang lebih tua kalau bercakap pun lemah lembut saja.

"Mungkin sebab tu, orang kampung sangat merasai kehilangan dia. Saya sendiri pun jika sebut tentang arwah saya mudah sebak," katanya ketika ditemui di Program Tautan Kasih di Masjid As Saadah di sini semalam.

Sementara itu, Bilal Masjid As Saadah, Bakri Awang berkata, masjid mereka juga sering menerima kunjungan daripada masyarakat luar yang datang menziarahi pusara Allahyarham.

"Kadang-kadang saya datang masjid tengok orang ramai ingatkan ada kenduri. Bila tanya imam masjid dia jawab orang luar datang ziarah kubur arwah.

"Beruntungnya Adib dia sentiasa diingati dan mendapat doa rakyat Malaysia bukan sahaja penduduk kampung ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bakri membacakan doa di pusara Muhammad Adib di Tanah Perkuburan Masjid As Saadah di sini semalam
Bakri membacakan doa di pusara Muhammad Adib di Tanah Perkuburan Masjid As Saadah di sini semalam

Menurutnya, keluarga Allahyarham juga banyak menyumbang kepada pembangunan masjid atas nama Allahyarham ia termasuk sebuah kolah untuk memudahkan jemaah berwuduk.

"Pihak masjid bercadang untuk menamakan kolah masjid itu sebagai 'Kolah Muhammad Adib untuk memperingatinya.

"Selain kolah, mungkin kami akan membina papan tanda pusara Muhammad Adib untuk memudahkan orang ramai yang berhasrat menziarahi kubur arwah di sini," katanya

Muhammad Adib, 24, cedera parah ketika bertugas di kawasan rusuhan membabitkan tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 pada 27 November dua tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Adib terharu sokongan rakyat Malaysia