X

Kindly register in order to view this article
!

Terima usul tidak percaya petanda krisis politik baharu

Laporan Sinar Harian pada 8 Mei 2020.
A
A

ALOR SETAR - Tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusoff menerima usul tidak percaya Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai petanda krisis politik akan berlaku lagi.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan merangkap Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu berkata, beliau tertanya-tanya sama ada tindakan berkenaan adalah wajar.

Menurutnya, beliau merasakan hal politik seharusnya dibiarkan sejuk terlebih dahulu dalam keadaan negara kita masih lagi bergelut untuk memerangi koronavirus (Covid-19) dan memulihkan semula negara.

"Kita semua tahu bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) dulu boleh jatuh. Kita juga tahu bagaimana Kerajaan Perikatan Nasional sekarang ini dibentuk.

"Malah apabila kerajaan Perikatan Nasional dibentuk, mereka tidak ada masa 'berbulan madu' dengan tugas pertama Kabinet Muhyiddin ialah berhadapan dengan wabak Covid-19," katanya

Beliau berkata, sehingga kini Perikatan Nasional dilihat begitu komited dalam membantu rakyat malah peluang untuk menyelesaikan misi berkenaan perlu diberikan terlebih dahulu.

"Jadi biarlah beri mereka peluang untuk menyelesaikan misi ini. Lagi pun rakyat baru saja hendak bernafas apabila sebahagian besar sektor ekonomi dibuka semula beberapa hari lalu," katanya.

Katanya, rakyat tidak seharusnya diheret dalam kancah dan kemelut politik yang memualkan malah mereka juga semakin meluat dengan pergaduhan serta pertelingkahan.

Dalam perkembangan sama, Hasmuni berkata, banyak lagi peranan yang PH boleh mainkan sebagai pembangkang yang baharu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Mohamad Ariff menerima usul tidak percaya Dr Mahathir ke atas Muhyiddin.

Menurut Mohamad Ariff, usul terbabit diterima di bawah Perkara 27 (3) Peraturan-Peratusan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan akan dibincangkan dalam Parlimen pada 18 Mei depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!