1,059 pergerakan rentas negeri di Johor

Keadaan aliran trafik di sekitar Plaza Tol Jalan Skudai menghala keluar ke arah Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Keadaan aliran trafik di sekitar Plaza Tol Jalan Skudai menghala keluar ke arah Kuala Lumpur. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 1,059 permohonan sudah diluluskan untuk pergerakan rentas negeri dari Johor ke negeri lain sejak semalam.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah tersebut meliputi 407 yang memohon melalui aplikasi Gerak Malaysia dan 652 lagi permohonan permit secara manual.

"Sebenarnya kita menerima 2,347 yang memohon melalui aplikasi Gerak Malaysia, tetapi buat masa ini kita luluskan 407 permohonan dahulu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sekatan jalan raya masih lagi dijalankan pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan 36 lokasi selain enam lagi dilakukan di kawasan yang bersempadan dengan negeri ini.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, dalam menangani isu penularan wabak koronavirus (Covid-19) dalam sektor pekerjaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor telah menumpukan penguatkuasaan terhadap industri pembuatan dan pembinaan.

Jelasnya, ini kerana dua sektor tersebut menyumbangkan kepada bilangan pekerja yang paling ramai dan berisiko tinggi.

Selain penguatkuasaan katanya, JKKP Johor menjalankan program-program galakan dan publisiti kepada majikan, pekerja dan orang awam untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran mereka terhadap keselamatan serta kesihatan pekerjaan.

Pada masa sama beliau mahu semua majikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan jika melanggar peraturan akan didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, JKKP Johor sentiasa membuka saluran komunikasi sama ada melalui media sosial atau atas talian dihubungi melalui 07-2214121 atau 019-2307559 atau melalui e-mel jkkpjh@mohr.gov.my.

Menurutnya, warga pekerja, majikan serta orang awam juga boleh mendapatkan maklumat dalam laman web www.dosh.gov.my atau di pautan Facebook JKKP Malaysia www.facebook.com/doshmalaysia.

"Khas untuk rakyat Johor, JKKP Johor juga mempunyai laman Facebook sendiri iaitu di https://www.facebook.com/doshjdt/ serta SaluranRasmi Telegram JKKP Johor di alamat t.me/ProDoshJohor2020," katanya.