Maszlee tolak jawatan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Mara Corp

Maszlee Malik
Maszlee Malik
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menolak pelantikan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Mara Corp.

Beliau memaklumkan perkara itu menerusi Facebook hari ini dan menegaskan terpaksa menolak kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugasnya sebagai Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Menurutnya, pada ketika ini beliau lebih terkesan dengan kesempitan hidup rakyat dan tekanan ekonomi yang dihadapi gara-gara wabak koronavirus (Covid-19).

"Di Simpang Renggam sendiri, terlalu banyak keluarga yang tersadai derita dan perlu dibantu.

"Justeru, saya tidak boleh menerima lantikan ini buat masa ini kerana kita masih belum menang melawan Covid-19," katanya.

Katanya, Malaysia harus menang dahulu, bebas dari bencana dan kehidupan rakyat kembali stabil.

Terdahulu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) melantik Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun sebagai Pengerusi baharunya berkuat-kuasa 1 Mei lalu dan turut mengumumkan pelantikan Maszlee sebagai Pengerusi Jawantankuasa Penasihat Mara Corp.

Maszlee berkata, beliau percaya, apa sahaja bentuk lantikan adalah amanah dari rakyat dan harus pulang kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kepentingan rakyat adalah paksinya dan bukannya keuntungan peribadi.

"Perhitungan saya jelas, keputusan yang bakal saya lakukan mesti selari dengan mandat yang diberikan kepada saya dari penyokong dan rakyat Simpang Renggam khususnya, juga rakyat Malaysia umumnya," katanya.

Tegasnya, beliau yakin banyak pembangunan dan kemajuan telah dicapai sejak penubuhan Mara dan banyak lagi potensi yang boleh dikembangkan agensi itu.

Menurutnya, Mara berjaya melahirkan ramai golongan profesional dan usahawan bumiputera yang secara tidak langsung membantu memartabatkan ekonomi golongan bumiputera.

"Agensi ini perlu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk benar-benar membantu golongan B40, pekerja makan gaji hari, juga bumiputera yang kehilangan kerja dan ramai lagi kelompok rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

"Mereka sangat-sangat perlu dibantu," katanya.