Umno Selangor sokong, junjung titah sultan

Johan-Abdul-Aziz
Johan-Abdul-Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Umno Selangor menjunjung penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan supaya semua papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina di Shah Alam digantikan dengan bahasa Melayu.

Setiausaha Umno Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz menerusi satu kenyataan berkata, titah baginda adalah sesuai dengan perlembagaan menetapkan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuk pada papan tanda dan nama jalan.

“Baginda pada 19 November 2018 lalu menitahkan kerajaan negeri supaya menanggalkan papan tanda yang mempunyai tulisan Cina di Shah Alam dan digantikan dengan papan tanda jalan satu bahasa sahaja iaitu Bahasa Melayu.

“Baginda juga menitahkan supaya operasi penukaran papan tanda jalan ini hendaklah dilakukan sebelum tarikh sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke 73 pada 11 Disember 2018. Ini dapat meredakan kegelisahan penduduk Shah Alam yang majoritinya Melayu,” katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya papan tanda jalan yang menggunakan bahasa Cina diturunkan dan digantikan dengan papan tanda menggunakan bahasa tunggal, iaitu bahasa Melayu.

Perkara itu dititahkan baginda menerusi salinan surat rasmi bertarikh 19 November yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan untuk maklumkan, tindakan serta perhatian Datuk Bandar Shah Alam.

Artikel Berkaitan: