Nampak cahaya terang tepi rumah

kebakaran rumah

Che Normah (kanan) dan kakaknya,Jamilah Darus melihat kesan kebakaran di rumahnya.
Che Normah (kanan) dan kakaknya,Jamilah Darus melihat kesan kebakaran di rumahnya.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Seorang suri rumah tidak menyangka rasa tidak sedap hati dan sukar untuk melelapkan mata menjadi petanda rumahnya hangus dalam kebakaran yang berlaku awal pagi Isnin lalu.

Kejadian yang berlaku 2.30 pagi itu, menyebabkan Che Normah Darus, 56, sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya yang terletak di Kampung Petani di sini musnah sepenuhnya.

Menceritakan semula kejadian itu, menurutnya, dia ternampak cahaya terang di bahagian tepi rumahnya yang dipercayai bermula dari rumah kosong berhampiran rumahnya dan melihat api mula merebak cepat.

"Makcik terus bangun dan keluar melihat apa yang terjadi. Selepas lihat rumah makcik mula terbakar, makcik kejut anak-anak supaya segera menyelamatkan diri.

"Kejadian berlaku terlalu pantas, anak makcik sempat selamatkan komputer riba dan kenderaan yang diletakkan di luar rumah sahaja. Yang lain semua hangus terbakar," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Terdahulu, Exco Pembangunan Desa, Dr Afif Bahardin membuat lawatan ke rumah Che Normah bagi menyampaikan bantuan daripada kerajaan negeri.

Che Normah berkata, dia buntu memikirkan ke mana dia sekeluarga mahu tinggal selepas ini berikutan keadaan rumahnya rosak teruk dan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membina semula rumah yang didiami sejak 50 tahun lalu.

Katanya, buat masa ini dia menumpang di rumah besannya di Kepala Batas sementara mencari rumah lain dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Afif berkata, kerajaan negeri akan berusaha beri bantuan rumah kepada keluarga Che Normah yang terpaksa menghadapi dugaan dan musibah ini.