X

Kindly register in order to view this article
!

Kawat bantu pengamal media terkesan Covid-19

Khairul Azlam (kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang pengamal media.
A
A

KUALA TERENGGANU - Prihatin dengan kebajikan ahlinya, Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) turut sama membantu pengamal media yang terkesan akibat koronavirus (Covid-19).

Presidennya, Khairul Azlam Mohamad berkata, walaupun berdepan dengan kesukaran, wartawan dan jurugambar yang bertugas di lapangan sebagai barisan hadapan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masih menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.

Menurutnya, selain masalah kesihatan, ada dalam kalangan pengamal media yang terjejas pendapatan, kesan langsung daripada PKP.

“Sebenarnya, warga media seperti wartawan dan jurugambar di lapangan juga sebahagian daripada petugas barisan hadapan tetapi malangnya kerap kali nasib mereka kita terlepas pandang.

“Sedangkan mereka bertugas dengan penuh dedikasi dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat walaupun turut terdedah dengan risiko.

"Sebab itu sebagai kelab yang menaungi mereka, kita rasa terpanggil untuk turut sama membantu mereka dan meringankan sedikit beban kewangan yang dihadapi," katanya selepas sesi penyerahan bantuan kepada ahlinya hari ini.

Jelas Khairul Azlam, seramai 64 pengamal media yang terdiri daripada wartawan sambilan tidak bergaji tetap, wartawan sambilan bergaji tetap atau menerima pencen, kakitangan bergaji tetap, wartawan sambilan media online, petugas lain ahli Kawat dan ahli yang sakit pada musim Covid-19 menerima bantuan berkenaan.

Selain itu katanya, Kawat juga bertindak sebagai penyelaras kepada bantuan yang disalurkan pelbagai pihak kepada pengamal media yang bertugas.

"Kami berterima kasih kepada semua pihak yang tidak pernah melupakan jasa para pengamal media. Ada antara mereka yang menyalurkan bantuan berbentuk kewangan dan barangan keperluan dapur.

“Sumbangan yang diterima ini kita salurkan kepada pengamal media yang memerlukan dan sedikit sebanyak dapat menceriakan mereka,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus