Polis mohon lanjut reman lelaki langgar Koperal Safwan

Fadzil Ahmat
Fadzil Ahmat
A
A
A

SHAH ALAM - Permohonan bagi melanjutkan reman ke atas lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Semenyih Ahad lalu, hingga mengakibatkan seorang anggota polis maut, akan dimohon di Mahkamah Majistret Kajang, esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat berkata, tempoh reman ke atas suspek telah tamat hari ini dan dibebaskan dengan jaminan polis.

"Suspek bagaimanapun ditahan semula untuk siasatan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan oleh pihak JSJ Selangor.

"Reman akan dipohon di Mahkamah Majistret Kajang, esok," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sejak Selasa lalu selepas selesai rawatan di Hospital Kajang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 44 tahun terbabit.

Suspek kemudian direman empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai menyebabkan kematian.

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Polis maut dirempuh pemandu mabuk ketika SJR

Arwah sempat kongsi detik tahun ke-11 berkhidmat

Koperal Safwan selamat dikebumi dengan istiadat polis

KPN sedih anggota maut angkara pemandu mabuk